Buletin

CUPRA BORN VZ, HATCHBACK ELEKTRIK BERKUASA TINGGI, 240 KW 545NM!

CUPRA dan CUPRA Racing ditubuhkan sebagai subsidiari SEAT. Sebelum dijadikan jenama berasingan pada 2018, Cupra atau SEAT Sport adalah subsidiari permotoran SEAT.

Walaupun masih baharu, CUPRA mempunyai pelbagai model dari hatchback sehingga wagon. Kenderaan utiliti sukan (SUV) mestilah ada.

Segmen hatchback kompak diwakili CUPRA Born yang dikeluarkan pada 2021 dan model elektrik penuh pertama dari syarikat.

Terbaru CUPRA mengangkatnya lebih tinggi dengan memperkenalkan Born VZ. Nama pun unik iaitu veloz dalam bahasa Sepanyol atau bermaksud laju.

CUPRA Born VZ kekal dengan rangkaian kuasa elektrik model asal namun lebih bertenaga dengan 240 kilowatt (kW) (322 hp) atau lonjakan 40 peratus berbanding varian e-Boost.

Daya kilas juga meningkat kepada 545Nm atau 75 peratus lebih tinggi berbanding mana-mana varian Born.

Berbekalkan kuasa tersebut, CUPRA Born VZ mampu memecut dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 5.7 saat atau sesaat lebih pantas daripada varian e-Boost.

Kelajuan maksimum dinaikkan dan dihadkan kepada 200 km/j, 40 km/j lebih laju berbanding e-Boost.

Peningkatan prestasi turut didatangkan bersama perkakasan dan penalaan casis baharu. 

Tetapan injap peredam depan diubah bersama rekaan pegas dan juga bar antigoleng selain peredam dan pegas baharu pada bahagian belakang untuk memadankan suspensi DCC Sport dengan kuasa terbaru.

Pakej stereng juga dinaik taraf dengan perkakasan dan perisian baharu untuk menjadikannya lebih sporti.

Bahagian brek turut disentuh untuk rasa yang lebih baik dengan meningkatkan kelangsungan (direct) dan mengurangkan rasa lembut berbanding CUPRA Born standard.

Peningkatan prestasi yang dibuat tidak menjejaskan kecekapan kereta dan CUPRA Born VZ boleh dipandu sejauh 570 kilometer (km).

Pek bateri dipertingkat dan mempunyai kapasiti bersih 79 kilowatt-jam (kWj) atau bertambah 2 kWj.

CUPRA Born VZ boleh dicas di rumah menggunakan sistem AC 11 kW atau pusat pengecasan pantas DC 170 kW dengan penambahan tenaga dari 10 sehingga 80 peratus dalam tempoh 30 minit.

Dari segi penampilan, CUPRA memperkenal dua rim aloi baharu saiz 20 inci dengan lebar 8J20 berbanding 7.5J19 dan 7.5J 20 yang digunakan CUPRA Born.

Rim tersebut dipadan bersama tayar lebih lebar dan berprestasi tinggi. CUPRA juga memperkenal warna baharu iaitu Dark Forest yang khusus untuk Born VZ dan tambahan kepada Midnight Black.

Logo VZ dibuat dalam warna krom gelap dan ejaan CUPRA dalam kemasan sama.

Pada bahagian dalam, pelanggan disediakan kerusi bucket sebagai satu-satunya pilihan dan sama seperti yang digunakan pada CUPRA Formentor VZ5 dan CUPRA Leon VZ Cup.

Pedal pada stereng berfungsi bagi memilih tiga tahap brek regeneratif dan boleh digunakan di dalam mod D untuk memadankan dengan gaya pemanduan.

Skrin yang digunakan lebih besar dengan saiz 12.9 inci atau membesar sebanyak 0.9 inci berbanding CUPRA Born. Turut dilengkapi lampu dalaman dengan teknologi Smart Technology.

Harga dan spesifikasi lengkap CUPRA Born VZ akan diumumkan kemudian.

Google ads
Back to top button