
USAHAWAN INDIA UBAH ROLLS-ROYCE JADI TEKSI MEWAH – SEWA RM1.3K SEHARI
Seorang usahawan dari Kerala yang pernah menjadi tajuk utama pada masa lalu kerana membawa legenda Diego Marodana ke negeri itu, sekali lagi menjadi perhatian apabila menukar Rolls-Royce Phantom miliknya menjadi sebuahg teksi mewah.
Boby Chemmanur cukup terkenal di negaranya kerana memiliki kenderaan mewah seperti Rolls-Royce, Mercedes-Benz, Range Rover dan pelbagai kenderaan lain. Kali ini, dia telah menukar Rolls-Royce Phantom menjadi teksi pelancong.
Tampil dengan warna emas, Phantom berkenaan turut diletakkan dengan namanya di bahagian pintu hadapan.

“Saya mempunyai kenderaan termasuk Rolls-Royce, Mercedes-Benz, Range Rover dan kenderaan premium lain. Sebagai seorang yang sentiasa berinteraksi dengan orang ramai, saya mendapati orang ramai kagum pada Phantom saya. Jadi, kenapa tidak menukarnya menjadi teksi pelancong?”
Teksi Rolls-Royce Phantom itu dimasukkan ke dalam kumpulan kenderaan di bawah kumpulan Boby Tours and Travel.
Kereta itu mempunyai nombor plat kuning yang digunakan untuk perkhidmatan teksi dengan caj sehari ialah AS$302 (RM1,355). Chemmanur berkata, kereta itu pada mulanya digunakan untuk pelanggan di Oxygen Resort miliknya di Munnar.
“Kami baru sahaja memulakan operasi setelah Covid melanda. Sekarang saya akan mempopularkannya. Kami mengenakan bayaran AS$604 (RM2,710) untuk majlis perkahwinan dan sudah mendapat beberapa tempahan kerana menaiki Phantom adalah pengalaman yang digemari pasangan muda.”
Chemmanur berkata terdapat beberapa tempahan telah dibuat untuk majlis perkahwinan. Divisyen pelancongan syarikat itu sedang mengeluarkan butiran termasuk urusan penginapan serta pakej berbulan madu.
Syarikat tersebut juga memulakan perkhidmatan helikopter dari Ernakulam ke Munnar untuk tujuan pelancongan.
Tambah bekas Timbalan Ketua Jurutera di Jabatan Kerja Kerala, Sasidharan Nair PR, “Kami telah menempah Rolls-Royce Phantom untuk majlis perkahwinan anak saya. Anak perempuan saya dan menantu cukup teruja kerana ia akan memberikan pengalaman berbeza.”