Buletin

NAYLA PEMANDU TEKSI WANITA PERTAMA DI GAZA

Ibu kepada empat orang anak melancarkan revolusi tersendiri minggu ini apabila menjadi pemandu teksi wanita pertama di Gaza, Palestin.

Dalam kawasan Palestin yang miskin, wanita mempunyai hak sama rata dengan lelaki untuk memandu kenderaan tetapi perdagangan teksi hanya didominasi oleh pemandu lelaki sehingga Nayla Abu Jubbah menawarkan perkhidmatan berkenaan.

“Pada satu hari, saya sedang berbual dengan seorang rakan yang bekerja sebagai pendandan rambut dan bertanya apa pendapatnya jika kami mulakan perkhidmatan teksi untuk wanita?

“Rakan saya berkata itu idea gila,” kata wanita berusia 39 tahun itu kepada agensi berita AFP.

Wanita tersebut yang tidak ambil pusing pendapat kawannya,  terus memakai hijab kepala dan pelitup muka lalu bergerak ke arah kereta yang diparkir di luar rumah selepas menikmati teh panas.

Nayla menambah, dia hanya mengambil penumpang yang membuat tempahan awal menerusi telefon pintar.

“Apabila ada tempahan daripada pelanggan, saya akan keluar rumah dan memandu pelanggan wanita ke merata tempat seperti majlis perkahwinan dan salun kecantikan,” ujarnya.

Perkhidmatan teksi Nayla terhad untuk pelanggan wanita sahaja malah kenderaan berkenaan dibeli dengan harta ditinggalkan ayahnya selepas meninggal dunia – agensi.

Google ads
Back to top button