
PELANGGAN ANGGAP TESLA SEBAGAI ‘PENGELUAR DARI NERAKA’ – SEMAKIN KECEWA DENGAN ELON MUSK DAN TESLA
Setelah berhempas pulas memperkenalkan jenama Tesla hingga menjadi gergasi di industri automotif, kini Elon Musk perlu menerima hakikat bahawa perjalanan Cinderella Tesla telah berakhir.
Seorang pengguna Tesla bernama Mark berkata, “Saya berasa bodoh ketika memandu Tesla Model Y baharu.”
Mark melontarkan pendapat sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan langkah diambil oleh Elon Musk pada tahun lalu. Elon Musk telah menaikkan harga empat model Tesla gara-gara peningkatan dari segi kos bekalan serta mengemas kini sistem bantuan pemandu.

Walau bagaimanapun, Mark masih berjaya mendapatkan Tesla Model pada harga AS$58,490 (RM262,532) setelah memperoleh rebat, berbanding harga asal AS$65,990 (RM296,196). Mark berkata, dia berasa bertuah ketika itu.
Tetapi pada 13 Januari, hanya lebih dua minggu selepas kereta baharunya dihantar, Tesla mengumumkan ia akan mengurangkan harga Model Y kepada AS$52,990 (RM237,845), penurunan sebanyak AS$13,000 (RM58,350).
Pemotongan harga yang banyak menyebabkan nilai Tesla baharu turun sebanyak 20 peratus, memerangkap pembeli model tersebut. Menurut pemilik model Y baharu, mereka menganggap Tesla adalah ‘pengeluar dari neraka.’

Melihat pada reaksi pembeli terhadap Elon Musk dan Tesla, jelas mereka semakin muak dengan syarikat itu dan kesannya boleh dilihat apabila semakin banyak jenama kini fokus kepada pengeluaran kenderaan elektrik, sekaligus memberikan persaingan kepada Tesla.
Kereta elektrik daripada pembuat kereta seperti GM, Ford, dan Hyundai kini semakin mendapat kepercayaan dikalangan pengguna, bahkan ciri futuristik ditampilkan oleh Tesla sebelum ini, sekarang ia didatangkan standard pada kenderaan elektrik jenama lain.
Elon Musk sebelum ini berjanji untuk mengeluarkan kereta tanpa pemandu sepenuhnya tetapi pesaing seperti GM dan Ford sudah pun meninggalkan Tesla dengan memperkenalkan sistem serupa untuk kenderaan jenama mereka.
Lebih malang untuk Tesla adalah Mercedes-Benz baru-baru ini menerima pensijilan pertama untuk automasi pemanduan Tahap 3, yang direka untuk memerlukan campur tangan manusia ketika berada dalam situasi tidak terkawal.
Menurut penganalisis automotif untuk AutoForecast Solutions, Sam Fiorani berpendapat bahawa masih ada jalan keluar untuk Tesla sekiranya ingin kekal relevan di dalam industri. Dia berhujah, mereka bentuk semula kereta Tesla akan menjadi bahagian penting dalam perniagaan.
“Apabila anda menjual kira-kira 300,000 kenderaan yang sama setiap tahun, dan kemudian mereka semua diletakkan bersama-sama di tempat letak kereta kedai runcit, pelanggan tersebut tiba-tiba mahukan sesuatu berbeza daripada jiran mereka.”
Tambah Sam Fiorani, Elon Musk harus bijak serta perlu memainkan peranan penting, bukannya tampil dengan sosok yang kontroversi kerana kesannya akan berpanjangan selain ia akan memakan diri sendiri.
- BACA: PELANGGAN TESLA SANGGUP TUKAR JENAMA LAIN – SEMAKIN MELUAT DENGAN PERANGAI ELON MUSK
- BACA: PELABUR BENGANG ELON MUSK BUAT TESLA MACAM ATM PERIBADI. JUAL SAHAM RM15.8 BILION
- BACA: PENGHANTARAN PERTAMA TESLA SEMI TRUCK BERMULA TAHUN INI – ELON MUSK
- BACA: PEMILIK TESLA BERHARAP ELON MUSK KURANG KONTROVERSI








