
XPENG PAMER X9 DI KLIMS 2026, MPV MEWAH DARI RM 280K
Jenama kenderaan elektrik (EV) dari China iaitu XPENG tampil memeriahkan Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 dengan mempamerkan MPV elektrik premium terbaharunya, iaitu XPENG New X9 yang kini dibuka untuk tempahan di Malaysia pada harga bermula RM279,888.
Dibawa masuk sebagai model import sepenuhnya (CBU) dari China, XPENG New X9 ditawarkan dalam tiga varian iaitu FWD Standard Range pada harga RM279,888, FWD Long Range berharga RM297,888 serta AWD Performance yang dijual pada RM333,888.
Dari segi penampilan, New X9 masih mengekalkan identiti reka bentuk futuristik dengan wajah hadapan “Robot Face” yang menjadi signatur model ini, lengkap dengan lampu siang LED melintang penuh, profil bumbung terapung serta lampu belakang jenis full-width light bar. Bagi meningkatkan pengalaman penggunaan harian, XPENG turut menambah ciri pintu hadapan soft-close berkuasa.

Untuk bahagian kabin, X9 menerima beberapa penambahbaikan termasuklah paparan Head-Up Display bersaiz 21 inci, stereng baharu berbalut material ultra-fiber serta sistem audio X-Opera dengan 27 pembesar suara. Pilihan warna dalaman turut diperluaskan dengan pengenalan tema Rose Brown dual-tone yang memberikan suasana lebih premium.
Bagi memenuhi keperluan keluarga moden, tempat duduk baris ketiga kini menggunakan konfigurasi lipatan 40:60 bagi memudahkan penyusunan kerusi kanak-kanak atau barangan besardan juga dilengkapi fungsi pemanas. Sebuah peti sejuk pintar di bahagian belakang yang mempunyai ciri child lock turut disediakan sebagai ciri tambahan.
XPENG New X9 dibangunkan menggunakan platform elektrik 800V SiC bersama teknologi pengecasan pantas 5C. Varian Standard Range menggunakan bateri LFP berkapasiti 94.8 kWh yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 535 km mengikut kitaran WLTP serta menyokong pengecasan 10 hingga 80 peratus dalam hanya 12 minit.
Sementara itu, varian Long Range dan AWD Performance menggunakan bateri NCM 110 kWh yang masing-masing menawarkan jarak pemanduan sehingga 615 km dan 580 km mengikut standard WLTP, dengan kedua-duanya turut mampu mencapai pengecasan 10 hingga 80 peratus dalam tempoh sekitar 12 minit.

Dari aspek teknologi pintar, XPENG New X9 menggunakan cip pemproses Turing AI yang mampu memberikan kuasa pemprosesan sehingga 750 trilion operasi sesaat (TOPS). Sistem ini menyokong pelbagai fungsi bantuan pemandu melalui pemprosesan data daripada radar, kamera dan sensor ultrasonik secara masa nyata untuk meningkatkan tahap keselamatan serta pengalaman pemanduan.
Antara kelengkapan keselamatan yang ditawarkan termasuk sembilan beg udara, Adaptive Cruise Control, Lane Centering Assist, Lane Change Assist, Intelligent Speed Management, Automated Parking, Remote Parking, Vehicle Summon, kamera 360 darjah, Transparent Chassis View, Blind Spot Monitoring serta pelbagai sistem bantuan pemandu yang lain.
Bagi pasaran Malaysia, XPENG turut menawarkan jaminan pengeluar selama lima tahun atau 120,000 km, penyelenggaraan percuma selama lima tahun atau 100,000 km serta waranti bateri voltan tinggi selama lapan tahun atau 160,000 km.
Dengan gabungan teknologi AI, sistem pengecasan ultra pantas dan ciri keselesaan premium untuk seisi keluarga, XPENG New X9 menjadi antara model EV yang mencuri perhatian pengunjung di KLIMS 2026.









