Buletin

NIZRA AUTO RASMI PEMBUKAAN XPENG STORE DAMANSARA 

NIZRA Auto baru-baru ini mengembangkan lagi rangkaian pengedarnya menerusi pembukaan rasmi XPENG Store Damansara, sekali gus mengukuhkan kedudukan jenama kenderaan elektrik (EV) premium itu dalam pasaran Malaysia.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Tun Mahathir. Ia turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bermaz Auto Berhad, Dato’ Sri Francis Lee Kok Chuan, Pengerusi merangkap Pengarah Eksekutif Prima Maju Auto Sdn. Bhd., Dato’ Sri Amer Hamzah Ahmad, Ketua Bermaz XPENG, Wan Zarel Harun, selain rakan niaga, pelanggan dan wakil media.

Terletak di Damansara, pusat pameran baharu itu bukan sekadar berfungsi sebagai bilik pameran dan pusat jualan, malah menjadi sebahagian daripada pelan jangka panjang NIZRA Auto untuk membangunkan perniagaan berteraskan mobiliti pintar, teknologi digital dan pengalaman pemilikan yang lebih menyeluruh.

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NIZRA Berhad, Nik Iruwan Dato’ Nik Izani, syarikat melihat XPENG sebagai sebuah syarikat teknologi dan bukannya sekadar pengeluar kenderaan elektrik.

“Ramai melihat XPENG sebagai sebuah syarikat EV. Namun bagi kami, ia adalah syarikat teknologi yang menggabungkan kecerdasan buatan (AI), perisian, kesalinghubungan dan teknologi pemanduan autonomi dalam satu platform.”

Matlamat NIZRA Auto bukan hanya menjual kenderaan, sebaliknya membina sebuah syarikat mobiliti yang mampu berkembang seiring dengan perubahan teknologi serta memenuhi keperluan pelanggan pada masa hadapan.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Bermaz Auto Berhad atas kepercayaan yang diberikan kepada NIZRA Auto untuk mengendalikan jenama XPENG di Malaysia, sambil menyifatkan kerjasama itu dibina atas asas kepercayaan, nilai bersama dan visi jangka panjang.

Selain memperkukuhkan perniagaan automotif, NIZRA Group turut mengumumkan kerjasama strategik bersama AiMotion bagi mempercepatkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan dalam operasi syarikat.

Dalam perkembangan berkaitan, NIZRA Auto memaklumkan bahawa syarikat akan memperluaskan lagi kehadiran jenama XPENG menerusi pembangunan pusat servis dan kemudahan selepas jualan khusus bagi memastikan pelanggan menikmati pengalaman pemilikan yang lebih lengkap.

Pembukaan XPENG Store Damansara dilihat sebagai satu lagi langkah penting dalam perkembangan NIZRA Auto, selain memperkukuhkan rangkaian pengedaran XPENG di Malaysia yang kini semakin berkembang seiring peningkatan permintaan terhadap kenderaan elektrik dan teknologi mobiliti pintar.

Google ads
Back to top button