Advertisements
Buletin

BERMAZ AUTO HENTI EDAR JENAMA XPENG DI MALAYSIA

Bermaz Auto Bhd (BAuto) tidak lagi bertindak sebagai pengedar kenderaan elektrik (EV) jenama XPeng di Malaysia susulan keputusan pengeluar dari China itu untuk menyusun semula rangkaian pengedarannya di negara ini.

Menerusi pemakluman kepada Bursa Malaysia, BAuto berkata anak syarikat milik 85 peratusnya, Bermaz Xpeng Sdn Bhd (BXpeng), telah menghentikan operasi XPeng berkuat kuasa serta-merta.

Kedua-dua pihak kini sedang memuktamadkan terma penamatan perjanjian sedia ada, termasuk perjanjian pengedaran serta tuntutan waranti yang dimeterai antara BXpeng dengan anak syarikat XPeng Inc.

Perjanjian berkenaan sebelum ini merangkumi tanggungjawab pengedaran dan penjualan kenderaan XPeng, pembekalan alat ganti serta penyediaan perkhidmatan selepas jualan di Malaysia. Ia sepatutnya tamat pada Mac 2027.

Menurut BAuto, BXpeng akan terus bekerjasama dengan pihak berkaitan sepanjang tempoh peralihan bagi memastikan proses penamatan operasi berjalan lancar.

Dalam pada itu, kumpulan berkenaan menjangkakan keputusan menghentikan peranan BXpeng sebagai pengedar XPeng tidak akan memberi kesan material terhadap kedudukan kewangan dan operasi BAuto bagi tahun kewangan semasa. – The Star

Google ads
Back to top button