
YAMAHA WR125R 2026 DIUMUMKAN – 14.3HP, 11.3NM
Yamaha WR125R kembali bagi tahun 2026 yang menyaksikan motosikal entry-level bagi segmen dual-purpose itu menerima pelbagai naik taraf terkini.

Peningkatan terbesar tertumpu pada bahagian enjin yang kini dilengkapi dengan teknologi VVA (Variable Valve Actuation) sepertimana yang terdapat pada motosikal Yamaha yang dijual di Malaysia.
Hasilnya, enjin satu silinder 125cc SOHC dengan sistem penyejukan cecair itu kini menawarkan 14.3hp pada 10,000rpm dan 11.3Nm pada 6,500rpm. Dalam pada itu, dengan adanya sistem VVA, dua profil cam pada WR125R ini boleh bertukar-tukar secara automatik bagi mengalirkan lebih banyak kuasa pada rev tinggi.

Antara perincian lain ditawarkan termasuk kerangka jenis semi-double cradle, fork depan 41mm dari KYB dan penyerap hentak tunggal belakang dengan pelarasan pra-beban.
Model baharu ini juga dilengkapi dengan rim berukuran 21-inci depan dan 18-inci belakang dan dipadankan bersama tayar Dunlop D605 secara standard.

Pakej brek pula terdiri dari cakera brek tunggal 267mm depan dan 220mm belakang masing-masing dipadankan dengan ABS secara standard. Meskipun diposisikan sebagai motosikal entry level namun WR125R ini menawarkan pencahayaan LED penuh depan dan belakang.

Dalam pada itu, Yamaha WR125R ini hadir dengan tangki bahan api berkapasiti 8.1L, ketinggian tempat duduk 875mm dan berat keseluruhan 138kg.
GALERI: YAMAHA WR125R 2026
















