Motosikal

YAMAHA BAKAL DEBUT ENJIN V4 DI GP SAN MARINO

Yamaha akhirnya akan meninggalkan platform crossplane dan beralih ke enjin V4 seawal di GP San Marino yang akan berlangsung dari 12 hingga 14 September ini.

Litar Misano bakal menjadi platform pertama yang akan menjadi saksi kepada pasukan Yamaha mengguna pakai jentera V4 buat pertama kalinya dalam perlumbaan kejuaraan dunia.

Bagaimanapun, hanya pelumba uji Yamaha, Augusto Fernandez akan yang memikul tanggungjawab berlumba dengan prototaip M1 dengan enjin V4.

“Bagi Misano, Augusto Fernandez akan beraksi dengan YZR-M1 yang dikuasakan enjin V4,” jelas Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing, Paolo Pavesio.

Yamaha sebelum ini telah pun mengesahkan sedang giat menguji enjin V4 itu dan Litar Misano bakal menjadi medan pertama platform baharu itu diuji dalam perlumbaan sebenar.

Dalam pada itu, tiada pengesahan dari pihak Yamaha bila pelumba tonggak, Fabio Quartararo akan turut beraksi dengan enjin baharu tersebut namun hampir pasti senario itu akan berlaku tidak lama lagi.

Sementara itu, pelumba satelit, Jack Miller dari Pramac Racing difahamkan akan turut terlibat secara langsung dalam pembangunan enjin V4 tersebut setelah kontraknya disambung semusim lagi sehingga 2026.

Ini kerana Miller berpengalaman luas dalam mengendalikan jentera V4 ketika bersama KTM dan Ducati berbanding Quartararo.

Google ads
Back to top button