
ERA BAHARU BERMULA, YAMAHA YZR-M1 DENGAN NADI V4 DIDEDAHKAN DI MISANO
Yamaha bakal memulakan era baharu di pentas kejuaraan dunia MotoGP apabila julung kalinya mendedahkan prototaip Yamaha YZR-M1 dengan enjin V4 di Misano, Itali.
Pendedahan jentera lumba baharu ini ketika musim 2025 sedang berlangsung membuktikan pendekatan berani Yamaha dalam pembangunan jentera yang lebih kompetitif.

Menurut Yamaha, jentera lumba baharu ini akan beraksi di Misano World Circuit Marco Simoncelli pada hujung minggu ini dan akan dikendalikan pelumba uji Augusto Fernandez yang akan bertanding atas tiket wild card.
Menariknya, Yamaha mengesahkan bahawa Fabio Quartararo dan Alex Rins akan turut menunggang prototaip tersebut pada Isnin depan ketika sesi ujian San Marino MotoGP Test.

Untuk rekod, Augusto yang telah pun menandatangani kontrak sebagai penunggang uji rasmi bagi Yamaha sehingga musim 2027, telah pun menguji beberapa kali jentera V4 ini.
Difahamkan, tujuan menurunkan jentera V4 pada pusingan 16 di Misano adalah untuk mengutip data penting.







