YOUTUBER JUMPA ‘HARTA KARUN’ BERNILAI RM5.5 JUTA.GARAJ PENUH PROTOTAIP KERETA RARE, VINTAJ
YouTuber yang menjadi penjelajah bandar terkejut apabila menjumpai sebuah garaj dipenuhi koleksi kereta prototaip rare dan vintaj dianggarkan bernilai £1 juta (RM5.5 juta) di Home Counties, Britain.
Antara ‘harta karun’ luar biasa yang ditemui merupakan prototaip Bristol Bullet, Bentley Continental Flying Spur dan teksi vintaj Beardmore tahun 1957.
YouTuber tersebut yang hanya dikenali sebagai Ben berkata dia mengetahui mengenai kompleks usang berkenaan sejak beberapa tahun lalu.
“Kami mengambil keputusan menjelajah bangunan terbengkalai itu tanpa mengetahui apa yang menanti di dalam.
“Semasa melompat ke dalam premis, kami menjumpai pelbagai kenderaan bernilai jutaan. Sejak dua tahun lalu,saya sudah memerhati bangunan terbengkalai ini kerana ia kelihatan amat menarik” katanya.
Bagaimanapun, belum sempat mereka menyiasat, kedengaran tapak kaki di dalam premis terbengkalai menyebabkan kedua penjelajah urban ini meninggalkan bangunan kerana tidak mahu berdepan masalah undang-undang.
Bangunan itu dimiliki pengeluar kereta Britain, Bristol Cars, syarikat yang ditutup pada bulan Mei lalu.
Jurucakap syarikat berkenaan mendakwa kenderaan-kenderaan berkenaan tidak bernilai dan dianggap sebagai ‘sampah’.
“Kenderaan-kenderaan dimiliki syarikat malah ada di antara jentera masih mempunyai pemiliknya tetapi disebabkan pandemik, mereka tidak dapat mengambil kereta sehingga ia terbiar,” ujarnya.
Bagaimanapun, pelelong yang menilai ‘sampah’ berkenaan memberitahu MailOnline, ia bernilai sekitar £1 juta (RM5.5 juta).
Kebanyakkan jentera-jentera berkenaan merupakan prototaip ditutupi lapisan kotoran tebal.
Bristol Cars merupakan pengeluar kereta mewah buatan tangan ditubuhkan pada tahun 1945 sebagai cabang pengilang kapal terbang.
Ia mempunyai 20 pekerja dan menghasilkan kira-kira 100 buah unit jentera setiap tahun.
Pada bulan Mac, ekonomi Britain yang terjejas akibat pandemik Covid-19 menyebabkan syarikat tersebut diperintahkan untuk dibubarkan.
Begitupun, sebahagian syarikat masih menjalankan perniagaan dengan nama Bristol Superlight. – agensi.