
YOUTUBER TERLIBAT KEMALANGAN KETIKA ‘LIVESTREAM’, MCLAREN 570S ‘TOTAL LOSS’
Jack Doherty, seorang YouTuber terkenal dengan hampir 15 juta pengikut, mencetuskan kontroversi baru-baru ini apabila terlibat dalam kemalangan kereta yang disiarkan secara langsung.
Doherty, yang dikenali melalui video pranknya, telah merempuh McLaren 570S miliknya semasa sedang memandu di lebuhraya Miami pada pagi Sabtu lalu, ketika hujan lebat melanda kawasan tersebut.
Lebih mengejutkan, kemalangan ini dikatakan dapat dielakkan kerana Doherty merupakan satu-satunya kereta yang terlibat.
Namun, kesilapannya ialah dia didapati sedang memeriksa telefon bimbitnya sambil memandu dan membuat siaran langsung di platform Kick.

Insiden bermula apabila kamera menyorot ke arah lain, dan pada ketika itu, bunyi enjin McLaren kedengaran semakin kuat, sebelum Doherty hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan.
Namun, pembantu kamera Doherty, dikenali sebagai Michael, mengalami kecederaan yang menyebabkan dia berdarah.
Lebih mencetuskan kemarahan ramai, Doherty dilaporkan meminta Michael terus merakam insiden itu menggunakan dua telefon bimbit, meskipun rakannya itu cedera.
Kereta McLaren 570S, yang dikatakan berharga sekitar USD202,850 (lebih RM950,000), kini hanya tinggal sisa kemalangan dengan bahagian hadapan musnah teruk.
Berdasarkan kerosakan yang dialami, kereta tersebut mungkin akan diisytiharkan sebagai ‘total loss’.
Selepas insiden itu, netizen di media sosial mula mengkritik tindakan Doherty. Seorang pengguna X menyatakan, “Konteks penting: Jack sedang menggunakan telefonnya dan memandu laju dalam hujan, dan dia sedar akan perkara itu.”
Seorang lagi mengulas, “Kawan awak berdarah dan awak lebih memilih untuk merakam daripada menolongnya, memang tak masuk akal.”
Akibat daripada siaran langsung insiden tersebut, platform Kick telah melarang Doherty daripada terus menggunakan perkhidmatan mereka atas alasan melanggar garis panduan.
Beberapa hari selepas insiden tersebut, Doherty memuat naik kenyataan di media sosial X, mengakui bahawa kemalangan tersebut merupakan “pengajaran besar” buat dirinya.
Namun, ramai masih tertanya-tanya apakah ‘pengajaran’ yang dimaksudkannya.
Setakat ini, belum jelas jika Doherty akan berdepan tindakan undang-undang berkaitan kemalangan tersebut, namun insiden ini pastinya menjadi satu peringatan besar kepada semua pemandu tentang bahaya memandu secara cuai.