Buletin

PEMANDU CAMRY PUTIH LANGGAR MOTOR DI KARAK DIREMAN 4 HARI

Semalam, tular video pemandu sebuah Toyota Camry berwarna putih yang menyebabkan kemalangan di lebuh raya Karak enghala ke Kuala Lumpur. Tindakan pantas polis membolehkan pemandu tersebut ditangkap kira-kira jam 7.00 petang. 

Kemalangan itu berlaku apabila suspek dilihat memandu di laluan kecemasan dan melanggar sebuah motosikal yang dinaiki oleh seorang penunggang serta pembonceng. 

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh, suspek yang merupakan seorang peniaga berusia 37 tahun ditahan di Balai Gombak. 

“Perintah tahanan reman ke atas pemandu dikeluarkan oleh Majistret Bentong selama empat hari bermula hari ini akan dilaksanakan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bentong untuk siasatan lanjut. Ujian saringan ke atas suspek bagaimanapun didapati negatif,” kata Kamarulzaman. 

Polis juga telah mengesan saksi awam dan mereka kini dalam proses untuk hadir membantu siasatan. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, sebuah Toyota Camry berwarna putih dilihat melarikan diri selepas melanggar motosikal yang menyebabkan dua orang terjatuh. Tindakan tidak bertanggungjawab suspek mendapat kecaman daripada orang ramai. 

Malah identiti suspek juga tular di laman sosial tidak lama selepas kejadian. – Astro Awani 

Google ads
Back to top button