Buletin

“BAYAR SINI RM100..” – BUKIT AMAN SIASAT ANGGOTA TRAFIK TAWAR PILIHAN BAYAR SAMAN

Polis akan menjalankan siasatan terperinci susulan tularnya satu video di platform Youtube “Tread The Globe” yang memaparkan tindakan seorang anggota trafik menyaman dan menawarkan bayaran saman di lokasi kejadian ke atas pasangan warganegara United Kingdom.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri memaklumkan pihaknya tidak akan bertoleransi dengan sebarang salah laku oleh mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat.

Video terbabit memaparkan pasangan itu yang menjelajah dunia mendakwa mereka ditahan oleh polis Malaysia kerana memandu laju dan diminta membayar saman.

Yang menghairankan, Chris dan Marianne Fisher diberi pilihan mahu membayar RM300 di balai polis atau boleh bayar terus RM100 kepada anggota polis trafik itu.

Tindakan itu dirakam dan videonya dikongsikan mereka di Youtube.

Ketika ditahan mereka yang dalam perjalanan ke Ipoh, dimaklumkan oleh anggota berkenaan bahawa telah melebihi had laju ditetapkan iaitu 60 kilometer sejam.

Akur dengan arahan tersebut mereka dilihat menghulurkan wang tunai dua helai wang kertas RM50.

Dalam tempoh 2 jam dimuat naik video terbabit telah mendapat lebih 14,000 tontonan. – Buletin TV3

Google ads
Back to top button