Buletin

EV ZEEKR 001 2023 DILANCARKAN DI CHINA, 1,032KM SEKALI CAJ, BERMULA RM191K

Pengeluar kenderaan elektrik premium, Zeekr telah melancarkan hatchback elektrik Zeekr 001 2023 baharu di China pada 1 Januari lalu. Sebagai model facelift, penampilan Zeekr 001 2023 pada asasnya adalah sama dengan model sedia ada.

Ukuran dimensi hatchback 5 pintu, 5 tempat duduk ini ialah 4,970mm panjang, 1,999mm lebar, 1,560mm tinggi dengan jarak roda 3,005mm. Zeekr 001 2023 juga menambah tiga warna baharu iaitu oren, biru dan hitam.

Zeekr 001 2023 hadir dengan pakej sport bersama tambahan AS$5,000 (RM22,022). Ia merangkumi rim multi-spoke bersaiz 22 inci, angkup piston Brembo, cakera brek berliang, bahagian dalam Alcantara dan tempat duduk perlumbaan.

Di bahagian kabin pula mendapat sentuhan minimalis dengan panel instrumen 8.8 inci serta skrin kawalan pusat 14.7 inci. Untuk tempat duduk, ia dibalut kulit Nappa dengan empat pilihan warna iaitu hitam karbon, biru nitrogen, kelabu platinum dan coklat titanium.

Tempat duduk hadapan dilengkapi ciri fungsi pemanasan, pengudaraan serta urutan. Penumpang bahagian belakang boleh mengakses skrin sentuh pelbagai fungsi bersaiz 5.7 inci.

Ciri keselamatan Zeekr 001 2023 dilengkapi sistem bantuan pemanduan termaju yang menyokong fungsi seperti penukaran lorong aktif, lencongan di jalan pembinaan dan laluan tanjakan autonomi.

Dari segi kuasa pula, versi pacuan empat roda dwi-motor mampu menghasilkan 536hp dan tork 686Nm, dengan daya pecutan dari 0–100 km/j dalam masa 3.8 saat. Versi itu dilengkapi bateri litium ternary berkapasiti 86kWj dan 100kWj, masing-masing boleh mencapai jarak perjalanan sejauh 546km dan 656km.

Sementara untuk versi pacuan roda belakang dengan motor tunggal, ia mampu menghamburkan kuasa 268hp dan tork 343Nm. Versi itu dipasang dengan bateri Qilin CATL, bateri generasi ketiga teknologi sel ke pek CATL berkapasiti 100kWj dan 140kWj. Ini membolehkannya mencapai jarak sejauh 741km dan 1,032km.

Zeekr mendakwa 001 ialah sebuah EV dengan jarak perjalanan paling panjang di dunia setakat ini dengan 1,032km dan terhad kepada 1,000 unit sahaja. Semua model tersebut juga menyokong mod pengecasan pantas.

Penghantaran dijangka bermula pada suku kedua 2023 dengan keempat-empat model dijual pada harga bermula AS$43,500 (RM191,595) hingga AS$55,900 (RM246,211).

GALERI:

Google ads
Back to top button