Buletin

ZEEKR 001. SHOOTING BREK EV PERTAMA DI DUNIA. 536HP, 700KM SEKALI CAJ

Zeekr telah melancarkan kenderaan pertamanya dalam satu majlis khas di China. Jenama di bawah Geely itu menyifatkan jentera tersebut sebagai shooting brake elektrik keluaran massa yang pertama di dunia. 

Zeekr 001 merupakan versi produksi model konsep Lunk & Co Zero yang diperkenalkan tahun lalu dan dihasil di bawah falsafah ‘bukan lagi EV yang membosankan’. 

Pengeluar kereta elektrik itu bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai reka bentuknya. Tetapi mengesahkan 001 memiliki teknologi pengesanan wajah yang mampu mengecam pemandu dan akan mengubah suai talaan mengikut kehendak mereka. 

Model itu juga dipasang dengan pintu tanpa bingkai yang akan terbuka secara automatik apabila pemandu menghampirinya. 

Hendal pintu yang ditanam pada badan kenderaan nampak begitu kemas. Penambahan lain yang ada termasuklah sensor pada fender hadapan dan bar lampu brek belakag yang turut dilekatkan dengan emblem Zeekr. 

Masuk ke dalam kabin, pemandu dihidangkan dengan kluster instrumen digital dan skrin infohibur yang besar. Ruang tersebut diserlahkan lagi dengan corak geometri pada papan pemuka serta panel pintu, lampu ambien dan kemasan dua tona.  

001 menawarkan ruang kargo seluas 2,114 liter dan boleh dikemas kini secara ‘over the air’. Geely menyatakan naik taraf itu akan dibuat setiap suku tahunan bagi memastikannya kekal kompetitif. 

Dibina di atas platform SEA Geely, 001 hadir dengan dua motor elektrik yang menawarkan kuasa 536hp dan tork 700Nm. Kuasa itu membolehkannya memecut dari 0-100km/j dalam masa 3.8 saat dan kelajuan maksimum mencecah 200km/j. 

Ia didakwa menggunakan pek bateri berkapasiti 86kWh dan 100kWh yang membolehkannya bergerak sejauh 700km dengan sekali caj. 

Keupayaan pengecasan pantas sehingga 360kWh menjanjikan jarak perjalanan sejauh 120km selepas dicaj selama hanya lima minit. Geely dilapor merancang untuk membina rangkaian pengecasan Zeekr. Jika segalanya mengikut perancangan, Geely akan membna 2,200 stesen pengecasan menjelang tahun 2023. 

Zeekr dijadual dilancarkan di pasaran China pada Oktober depan dan kini sedang sibuk membina rangkaian pengedar. Geely turut merancang untik membuka 36 pusat penyerahan dan 60 pusat servis. 

Selepas dilancarkan di China, Zeekr mahu mengembangkan jenamanya ke peringkat global bermula 2022. 

GALERI

Google ads
Back to top button