Buletin

MINIVAN ELEKTRIK ZEEKR 009 – MACAM KIA CARNIVAL + ROLLS-ROYCE BERGABUNG

Geely kini mempunyai beberapa jenama automotif elektrik sepenuhnya, seperti Radar Auto, Geometry dan juga Zeekr.

Selepas model Zeekr 001, pengeluar kenderaan elektrik itu bakal melancarkan sebuah lagi model elektrik, iaitu Zeekr 009.

Rupa luaran Zeekr 009 ini mengingatkan kita semua kepada minivan Kia Carnival, dengan elemen kemewahan yang diambil daripada model Rolls-Royce.

Bahagian depan menampilkan rekaan lampu utama berlapis dengan unit lampu LED DRL menegak, lampu belakang LED melintang penuh, rekaan jeriji hadapan sekaan model Rolls-Royce, serta tidak ketinggalan kehadiran bumbung bulan dan bumbung suria panorama di bahagian belakang.

Menggunakan platform SEA daripada Geely, Zeekr membawakan dimensi 5,209 mm, lebar 2,024 mm, tinggi 1,856 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,205 mm, lebih besar berbanding dimensi Kia Carnival.

Ruang kabin pula menempatkan tempat duduk balutan upholsteri kulit premium dengan rekaan geometri, sistem infotainmen jenis terapung dan juga konfigurasi tiga baris tempat duduk.

Tiada sebarang info berkenaan output kuasa dan prestasi minivan elektrik ini melainkan jarak operasi sejauh 700 km yang boleh dicapai untuk sekali cas penuh (data NEDC).

Zeekr 009 akan diperlihatkan secara rasmi di Chengdu Motor Show pada 26 Ogos ini.

Google ads
Back to top button