Buletin

CEO VOLVO, JIM ROWAN MASIH BERTEKA-TEKI MENGENAI EX30 – HANYA MENJANJIKAN HARGA MESRA POKET DAN CIRI KESELAMATAN TERBAIK

Semasa pelancaran EX90 2024 bulan lepas, Volvo telah memberi sedikit maklumat mengenai crossover yang akan diperkenalkan tahun depan.

Meskipun syarikat itu memilih untuk menyembunyikan spesifikasinya, namun menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Jim Rowan, model dikenali sebagai EX30 itu dibina untuk memberi pilihan kepada pelanggan mendapatkan kereta pada harga yang menjimatkan.

Walau bagaimanapun, Jim Rowan tidak mendedahkan sebarang angka namun EV Volvo XC40 Recharge peringkat asas bermula pada harga AS$53,550 (RM235,727) atau AS$17,200 (RM75,714) lebih mahal berbanding XC40 berkuasa ICE.

Rowan menjangkakan ciri keselamatan berkualiti akan disediakan untuk EX30 meskipun beliau memberi bayangan bahawa EX30 akan bersaiz lebih kecil kerana mahu mengurangkan kos pembinaan. Tambahnya lagi, EX30 juga akan menawarkan pek bateri kepada pelanggan.

Model itu akan ditawarkan secara langganan dengan komitmen sekurang-kurangnya tiga bulan sebagai daya tarikan kepada pelanggan lebih muda, atau seawal 18 tahun untuk memiliki kereta pertama.

Walaupun komitmen selama tiga bulan tidak begitu lama, Rowan percaya pelanggan akan mengekalkan langganan mereka lebih dari tiga bulan kerana pelanggan bakal mendapat pelbagai perlindungan seperti insurans dan bantuan tepi jalan daripada Care by Volvo.

Rowan seterusnya berkata EX30 akan dikeluarkan di China. Masih tidak jelas sama ada crossover itu juga akan dibina di tempat lain, tetapi model itu dijangka berasaskan platform EV modular SEA daripada syarikat induk Volvo, Geely.

Platform ini telah digunakan untuk 001 hot hatch daripada Zeekr dan mempunyai sistem elektrik 800 volt untuk pengecasan berkelajuan tinggi.

Dalam pada masa yang sama, Rowan menegaskan bahawa XC90 akan bertahan di pasaran buat sementara waktu kerana kawasan pedalaman Amerika Syarikat serta wilayah pedalaman China mengambil masa yang lebih lama untuk menggunakan kenderaan elektrik.

Beliau menjelaskan perkara ini disebabkan kekurangan infrastruktur pengecasan dan hakikat bahawa orang yang tinggal di kawasan ini mempunyai perjalanan lebih jauh. Oleh itu, XC90 lebih masuk akal untuk mereka.

Google ads
Back to top button