Artikel Pilihan

8 KERETA DENGAN GARISAN MERAH RPM PALING TINGGI

Garisan merah ataupun redline merujuk kepada kelajuan putaran enjin tertinggi yang boleh dicapai oleh sesebuah enjin pembakaran dalaman tanpa merosakkan komponen-komponen enjin itu sendiri akibat bebanan yang melampau. Ia bergantung kepada banyak faktor seperti saiz komponen dalaman sesebuah enjin, sesaran, komposisi komponen mahupun imbangan antara komponen.

Garisan merah ini juga berbeza pada setiap enjin di mana kadar rpm adalah cukup rendah bagi enjin bersaiz besar seperti enjin untuk lokomotif keretapi. Enjin berprestasi tinggi untuk kenderaan kecil seperti kereta sports ataupun motosikal pula mampu berputar dengan kelajuan yang lebih tinggi sehingga mencecah 9,000rpm. Enjin kereta biasa pula hanya terhad kepada sekitar 5,500 hingga ke 7,000rpm.

BACA: ENJIN FERRARI V8 TURBO MENANG ANUGERAH KESELURUHAN 2017

Bagaimanapun terdapat beberapa buah model kereta yang mampu mencapai tahap putaran rpm yang tidak mampu dicapai oleh kereta biasa. Ia membolehkan pemandu memecut dengan lebih lama dalam satu-satu gear sebelum menukarnya. Kereta-kereta tersebut adalah:

• Audi R8 V10 Plus – 8,700 RPM
Kereta ini dikuasakan enjin 5.2 liter V10 yang mampu menghasilkan 610 bhp kuasa maksima pada 8,700 rpm. Ia juga menjadikannya satu antara model sport dengan enjin 10-selinder yang mampu berputar pada kelajuan tinggi. Digabungkan pula dengan sistem pacuan semua roda membolehkan ia memecut dari 0-100km/j hanya dalam masa 2.7 saat.

• Honda Integra Type R – 8,800 RPM
Setengah versi enjin B18C Honda dieksport dengan sistem cut-off bahan api pada 8,800 rpm. 20 tahun dahulu enjin ini merupakan satu pencapaian besar dalam bidang permotoran dan bila dicantumkan dengan sistem kawalan Integra, model lagenda ini telah dilahirkan.

• Honda S2000 – 9,000 RPM
Meneruskan tradisi Honda yang mengeluarkan banyak enjin berkapasiti rendah tetapi mampu berputar dengan kelajuan tinggi. Enjin F20C 4-selinder yang dilengkapkan pada S2000 ini mampu berputar sehingga 9,000 rpm untuk menghasilkan kuasa maksima setinggi 240 bhp. Enjin ini juga memegang rekod putaran enjin tertinggi untuk enjin aspirasi natural (sehingga Ferrari 458 muncul).

• LaFerrari – 9,250 RPM
Enjin F140 LaFerrari ini memang kurang ajar kerana mampu berputar sehingga 9,250 rpm. Bukan itu sahaja, enjin V12 6.3 liter ini juga mampu menjana 789 bhp yang sudah cukup berkuasa. Tapi jika pemiliknya masih merasa tidak puas hati, ia juga mempunyai tambahan 161 bhp lagi kuasa yang dijana oleh sistem KERS. Ini menjadikannya Ferrari paling berkuasa untuk kegunaan di jalan raya.

• Honda S600 – 9,500 RPM
Jika anda rasa Honda S2000 tadi merupakan model Honda dengan rpm paling tinggi memang anda silap kerana ada satu lagi model klasik Honda iaitu S600 mampu berputar dengan lebih laju iaitu 9,500 rpm pada enjin bersaiz 600 cc. Hasilnya ialah kuasa maksima 92 bhp setiap satu liter. Cukup hebat untuk kenderaan tahun 60-an.

• Mazda RX8 Type S – 9,500 RPM
Enjin rotary Wankel memang diakui sebagai enjin yang mampu berputar dengan kelajuan tinggi berbanding dengan enjin piston biasa. Setakat 9,000 rpm tu memang sebelah mata sahaja bagi enjin rotary kerana ia mempunyai binaan yang lebih ringkas berbanding enjin biasa.

BACA: MAZDA COSMO SPORT – 50 TAHUN TEKNOLOGI ENJIN ROTARY

BACA: HONDA CIVIC TYPE R DIJUAL SECARA RASMI DI FILIPINA – DARI RM252,000!

• Lexus LFA – 9,500 RPM
LFA diakui sebagai antara enjin yang menghasilkan bunyi paling merdu di dunia. Ia juga merupakan antara model enjin V10 dengan putaran tinggi. Bagaimana ia mampu dicapai? Senang sahaja iaitu menggunakan kombinasi omboh-omboh yang dihasilkan daripada aluminum tempa, rod penyambung daripada titanium tempa selain injap-injap yang diperbuat daripada titanium.

• Ariel Atom V8 500 – 10,600 RPM
Gabungan dua buah enjin Suzuki Hayabusa dan berat keseluruhan 550 kilogram menghasilkan sebuah kereta yang mempunyai pecutan yang cukup menakutkan. Enjin V8 Ariel Atom mampu mencapai tork tertinggi pada 7,750 rpm tetapi putarannya akan terus meningkat sehinggalah ia dihadkan pada 10,600 rpm!

Tags
Google ads
Back to top button