
ALKISAH HONDA EDIX – SEBUAH MINI MPV ENAM TEMPAT DUDUK YANG TIADA BERPENGGANTI
Tidak lama dahulu dunia automotif pernah dikejutkan dengan kehadiran model enam tempat duduk dengan konfigurasi 3+3 yang diterajui oleh Fiat Multipla dengan kehadirannya dilihat bijak untuk memenuhi citarasa pembeli yang mahukan sebuah kenderaan yang lebih besar dan luas tetapi tidak mahu memandu MPV yang panjang. Cumanya kehadiran Fiat Multipla ini dilihat kurang senonoh dari segi luaran yang boleh membuatkan orang ramai menghamburkan kata – kata nista dan cerca baik di luar hati mahu pun di dalam hati.

Tidak lama selepas pengenalan model yang mendapat cemuhan itu walau pun cukup praktikal, Honda pula memperkenalkan model yang serupa dengan diberikan nama Honda FR-V atau pun Honda Edix untuk pasaran domestik negara kelahirannya. Nama Edix ini dipilih berdasarkan gabungan nama Edit dan Six (yang membawa erti enam penumpang).
Mujurlah pereka bentuk Honda tidak mengulangi kesilapan yang serupa dengan Fiat. Rekaan luarannya dilihat jauh lebih menarik dan lawa berbanding model Multipla itu.

Reka bentuk hadapannya mempunyai persamaan dengan beberapa model Honda yang dikeluarkan pada era tersebut dengan rekaan gril krom tiga bar melintang. Walau pun bahagian hadapan sudah dilihat cukup menarik bahagian belakang kelihatan sedikit pelik dengan seperti dipotong terus. Cumanya rekaan sebegitu dilihat cukup berguna untuk memberikan ruang kargo yang agak luas di bahagian belakang untuk membawa bagasi tanpa masalah.
Walau pun menampilkan formasi tempat duduk 3+3, namun ianya menampilkan paten berbentuk V dengan barisan tengah di setiap barisan sedikit terkebelakang. Sudah tentu ini diperlukan atas faktor untuk memuatkan konsol tengah tanpa membabitkan masalah dengan penumpang yang duduk di baris tengah berlaga lutut. Bijak.

Pilihan trenkuasa pula meliputi dia enjin, 1.7 liter VTEC dan juga 2.0 liter DOHC VTEC yang mendapatkan lebih kuasa. Oh ya, ditempat kita juga sebetulnya ada dibawa masuk oleh pengedar persendirian dengan dijual atas nama Wald Edix.
Honda FR-V ini telah mula dijual di pasaran Eropah bermula musim luruh 2004 dengan pasaran Jepun mula menjengah pasaran bermula Julai tahun yang sama dan tamat produksi pada tahun 2011.
Tiada pengganti generasi berikutnya atas faktor kurangnya sambutan daripada pembeli ketika itu.
BACA : TOYOTA WISH & HONDA STREAM – LAGENDA MPV YANG TELAH BERAKHIR
BACA : FIAT MULTIPLA DAN SEJARAHNYA

