
PROTON e.MAS SATUKAN SASI THE DON, DATO’ AWIE MENERUSI SINGLE ‘OH MY KAWAN’
Pelopor muzik reggae dan dancehall tempatan, Sasi The Don, bergandingan dengan ikon rock tanah air, Dato’ Awie menerusi single terbaharu berjudul Oh My Kawan yang mengetengahkan tema persahabatan dan kebersamaan.
Kolaborasi itu turut membabitkan kerjasama strategik bersama Proton e.MAS menerusi kempen Friendship Powered by Proton e.MAS, sekali gus menggabungkan elemen muzik, hiburan dan mobiliti elektrik dalam satu pendekatan kreatif.
Ketua Pegawai Penjenamaan PRO-NET, Puan Salawati Mohd Yusoff berkata, pemilihan muzik sebagai medium mendekati masyarakat menerusi kerjasama itu merupakan langkah permulaan bagi memperluaskan jangkauan jenama Proton e.MAS.
Menurutnya, penglibatan dua nama besar dalam industri muzik tempatan seperti Sasi The Don dan Dato’ Awie mampu membantu jenama itu mendekati lebih ramai pengguna, selain memperkenalkan peranan mobiliti elektrik dalam kehidupan seharian.

Beliau berkata, kerjasama berkenaan bukan sekadar bertujuan memastikan masyarakat mengingati lagu yang dihasilkan, malah memberi peluang kepada mereka memahami manfaat mobiliti yang ditawarkan Proton e.MAS.
“Ini adalah langkah permulaan buat kami. Kedua-dua artis ini cukup terkenal dalam industri muzik dan menerusi kolaborasi bersama Dato’ Awie serta Sasi The Don, kami dapat memperluaskan jangkauan kepada lebih ramai masyarakat.
“Pada masa sama, ia membolehkan orang ramai bukan sahaja mengingati muzik yang dihasilkan, tetapi turut memahami bagaimana mobiliti dapat memberikan manfaat kepada kehidupan mereka,” katanya.
Diterbitkan secara eksklusif oleh Sony Music Entertainment Malaysia dan Tuff N Loud Worldwide, lagu berkenaan membawa mesej mengenai kepentingan persahabatan, kenangan serta hubungan antara individu tanpa mengira perbezaan latar belakang dan generasi.
Menariknya, karya itu menemukan dua figura muzik tempatan daripada latar genre berbeza apabila identiti reggae dan dancehall Sasi The Don disatukan dengan pengaruh muzik rock yang sinonim dengan Dato’ Awie.

Lagu yang ditulis, digubah dan diterajui sepenuhnya dari sudut kreatif oleh Sasi The Don itu menampilkan susunan muzik bertenaga, melodi mudah diingati serta lirik yang dekat dengan kehidupan masyarakat.
Menerusi kempen Friendship Powered by Proton e.MAS, jenama mobiliti elektrik itu turut diketengahkan sebagai sebahagian daripada pengalaman perjalanan bersama sahabat, selain menjadi medium mencipta kenangan sepanjang perjalanan.
Menerusi video muzik rasmi dan kandungan sokongan yang dihasilkan, barisan model Proton e.MAS serta teknologi yang ditawarkan turut diperkenalkan dalam suasana santai dan menghiburkan.
Sementara itu, Sasi The Don yang sudah berkecimpung selama 25 tahun dalam industri muzik turut dikenali sebagai antara individu yang memainkan peranan dalam memperkenalkan muzik reggae dan dancehall di Malaysia serta rantau Asia.
Selain perjalanan seninya, beliau mempunyai pengalaman dalam bidang strategi kreatif dan pembangunan jenama menerusi penglibatan bersama agensi pengiklanan antarabangsa seperti Mindshare, McCann dan IPG Media.
Beliau kini turut menerajui Rimba Lions Communications Sdn. Bhd. sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas.
Menerusi Oh My Kawan, Sasi The Don berharap dapat terus mengangkat muzik Malaysia ke peringkat antarabangsa, selain menghasilkan karya yang mampu menyampaikan mesej positif dan menyatukan pendengar daripada pelbagai latar belakang.
Single Oh My Kawan akan mula distrim di semua platform penstriman muzik utama pada 20 November 2026, manakala video muzik rasminya akan dilancarkan pada hari sama menerusi saluran YouTube.









