
CHERY TIGGO 5X FASTBACK 2027 DILANCARKAN DI CHINA, HARGA BERMULA RM44,000
Chery memperkenalkan Tiggo 5x Fastback 2027 di pasaran China menerusi varian High Energy Edition yang kini ditawarkan dengan pilihan transmisi automatik CVT.
Model SUV lima tempat duduk itu ditawarkan dalam dua varian iaitu Comfort dan Luxury, masing-masing menggunakan enjin petrol 1.5 liter turbo.
Harga rasmi bermula 77,900 yuan (kira-kira AS$11,690), namun menerusi tawaran promosi, harga permulaan diturunkan kepada 69,900 yuan (sekitar AS$10,490) atau kira-kira RM44,000.
Dari segi penampilan, Tiggo 5x Fastback 2027 mengekalkan reka bentuk bumbung melandai ke belakang yang memberikan imej lebih sporty. Model ini berbeza daripada Tiggo 5x Excellence Edition yang mempunyai bentuk badan lebih berkotak dan dijual pada harga bermula 59,900 yuan.

Untuk dimensinya, SUV ini mempunyai panjang 4,400mm, lebar 1,830mm dan tinggi 1,588mm, manakala jarak roda pula berukuran 2,630mm.
Ruang kabin dilengkapi paparan berkembar berukuran keseluruhan 20.5-inci bersama sistem infotainmen Chery Lion 5.0. Turut disediakan ialah kamera 540 darjah yang bukan sahaja memaparkan keadaan sekeliling kenderaan, malah menawarkan paparan maya bahagian bawah badan kereta.
Kelengkapan lain bagi kedua-dua varian termasuk kemasukan tanpa kunci, brek parkir elektronik dengan fungsi AutoHold serta kawalan jelajah.
Bagi varian Luxury, Chery menambah beberapa ciri keselesaan seperti tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanas dan pengudaraan, pelarasan elektrik empat arah untuk tempat duduk penumpang hadapan serta cermin sisi yang mempunyai fungsi pemanas dan lipatan elektrik.

Dari sudut prestasi, kedua-dua varian digerakkan enjin petrol 1.5 liter turbo yang menghasilkan kuasa 154PS dan tork maksimum 230Nm.
Enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi CVT yang menawarkan simulasi sembilan nisbah gear, dengan kuasa disalurkan kepada roda hadapan.
Sistem suspensi menggunakan konfigurasi MacPherson di bahagian hadapan dan torsion beam di belakang. Penggunaan bahan api pula direkodkan pada kadar 7.3 liter bagi setiap 100 kilometer berdasarkan kitaran ujian WLTC.
Menariknya, Tiggo 5x Fastback berkongsi platform T1X dengan Omoda 5, termasuk jarak roda 2,630mm. Persamaan turut dapat dilihat pada bentuk badan fastback dan susun atur sebahagian ruang dalamannya, meskipun bahagian hadapan kedua-dua model mempunyai identiti reka bentuk tersendiri.
Bagaimanapun, spesifikasi model untuk pasaran China dan eksport mungkin berbeza, termasuk konfigurasi suspensi belakang.



