Buletin

TOYOTA SIENTA JUNO: MINI MPV YANG BOLEH JADI RUMAH BERGERAK

Jepun kini sedang dilanda gelombang kecil kenderaan campervan bersaiz mini, dan Toyota tidak ketinggalan dalam arus ini.

Kali ini, bukannya van bersaiz penuh atau trak besar yang diubahsuai menjadi rumah bergerak. Sebaliknya Toyota memperkenalkan sesuatu lebih kecil, lebih comel, dan jauh lebih fleksibel, iaitu Toyota Sienta Juno, versi ‘modular camper’ yang diinspirasikan daripada konsep perabot pasang-siap seperti IKEA.

Berbeza dengan Toyota Sienna yang lebih dikenali di pasaran Amerika Utara, Sienta adalah MPV kompak yang dibina atas platform TNGA-B – sama seperti Yaris.

Walaupun enjinnya hanya 1.5 liter tiga silinder (dengan pilihan hibrid), reka bentuknya cukup praktikal, lebih pendek daripada Corolla Hatchback, namun lebih tinggi daripada RAV4.

Dan paling penting, ia ada pintu gelungsur, ciri yang amat digemari dalam dunia campervan.

Namun, versi Juno ini bukanlah campervan lengkap dengan dapur dan katil terbina. Sebaliknya, pelanggan diberikan pilihan modul perabot yang boleh dibeli dan dipasang sendiri mengikut keperluan, seolah-olah membeli rak buku IKEA, lengkap dengan panel berlubang dan susun atur fleksibel.

Modul paling asas dikenali sebagai Chill Module, direka khas untuk mereka yang gemar bersantai di taman sambil membaca buku atau menikmati pemandangan. Ia terdiri daripada modul asas, bantal, dan meja kecil, cukup untuk mencipta sudut ‘zen’ bergerak yang sesuai untuk sesi healing atau konten media sosial.

Bagi mereka yang betul-betul mahu tidur dalam kereta, Refresh Module menawarkan empat unit alas rendah yang membentuk permukaan hampir rata.

Walaupun tidak sepenuhnya licin, ia boleh dipadankan dengan tilam dan selimut sendiri untuk pengalaman bermalam yang selesa, selagi anda tidak melebihi ketinggian 175cm. Panjang maksimum ruang tidur hanya sekitar 196cm jika tempat duduk depan dilipat sepenuhnya.

Untuk yang mahu bekerja secara nomad, Toyota menawarkan Focus Module – meja terapung sepanjang kereta yang direka untuk kerja atas jalan. Ia seperti pejabat bergerak bersaiz poket, sesuai untuk mereka yang sering ‘burnout’ sambil menaip tesis di tengah hutan.

Satu lagi pilihan ialah Comfort Module, kombinasi antara ruang tidur dan ruang santai dengan pelbagai unit simpanan dan permukaan bertingkat.

Modul ini agak mahal, tetapi masih lebih murah berbanding campervan tradisional. Dan ya, semua modul boleh dicampur ikut citarasa pengguna, seperti memilih aksesori tambahan untuk almari PAX IKEA.

Harga keseluruhan termasuk Sienta versi pacuan semua roda dan set modul paling premium masih berada di bawah RM135,000.

Dengan sedikit kreativiti dan peralatan tambahan seperti dapur mudah alih, power bank dan sistem storan, Sienta Juno boleh menjadi ‘rumah kedua’ untuk pengembara urban yang mahukan sesuatu ringkas tapi versatil.

Google ads
Back to top button