
DENZA D9 PRESTIGE AWD 2026 DILANCARKAN – SOKONG TEKNOLOGI BYD FLASH CHARGING, HARGA MULA RM345K
DENZA Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan DENZA D9 Prestige AWD baharu dengan pelbagai penambahbaikan merangkumi kemewahan ruang kabin, teknologi hiburan, ciri keselamatan serta prestasi rangkaian kuasa elektrik.
Antara tarikan utama MPV elektrik premium itu ialah penggunaan Bateri Blade Generasi Kedua BYD yang menyokong teknologi BYD Flash Charging.
Menerusi teknologi berkenaan, bateri boleh dicas daripada 10 hingga 70 peratus dalam tempoh hanya lima minit, manakala pengecasan daripada 10 hingga 97 peratus mengambil masa sekitar sembilan minit dalam keadaan pengecasan optimum.
Dari segi prestasi, DENZA D9 Prestige AWD menggunakan rangkaian kuasa elektrik yang menghasilkan kuasa maksimum 410kW (557PS) dan tork 445Nm. Ia dipadankan dengan bateri berkapasiti 115.07kWh yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 650km berdasarkan kitaran NEDC.

Bagi meningkatkan keselesaan pemanduan, model ini turut dilengkapi sistem suspensi pintar DiSus-C dengan teknologi injap berkembar.
Sistem tersebut mampu melaraskan tahap redaman mengikut keadaan permukaan jalan dan pergerakan kenderaan bagi mengurangkan olengan badan, selain memberikan pengendalian lebih stabil.
Ruang kabin pula menerima kemasan kulit Nappa yang memberikan suasana lebih mewah. Tempat duduk barisan kedua dilengkapi pelarasan elektrik pelbagai arah serta fungsi urutan 16 titik. Tempat duduk barisan kedua dan ketiga turut menawarkan fungsi pengudaraan serta pemanasan.
Penumpang barisan kedua juga boleh menikmati hiburan menerusi dua skrin multimedia berukuran 12.8-inci, selain sistem audio Devialet dengan 16 pembesar suara.

Dari aspek praktikaliti, ruang bagasi menawarkan kapasiti sehingga 689 liter apabila semua tempat duduk digunakan. Kapasiti tersebut boleh diperluaskan sehingga 2,436 liter bergantung pada konfigurasi tempat duduk, selain ruang penyimpanan tambahan 126 liter di bawah lantai.
Kemudahan lain termasuk sistem arahan suara dengan sokongan interaksi enam zon, paparan unjuran realiti terimbuh (AR) serta pintu belakang dan pintu gelangsar berkuasa. Tuil pemilih gear turut dipindahkan ke tiang stereng bagi memberikan lebih banyak ruang pada konsol tengah.
Aspek keselamatan pula dipertingkatkan menerusi rangkaian sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) yang merangkumi Sistem Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Kawalan Jelajah Pintar (ICC) dan Bantuan Kekal Lorong Kecemasan (ELKA).
Model ini turut dilengkapi sembilan beg udara termasuk beg udara hadapan tengah bagi meningkatkan perlindungan kepada pemandu dan penumpang.

Dari segi pilihan warna, DENZA D9 Prestige AWD ditawarkan dalam empat pilihan iaitu Arctic White, Cosmos Black, Starry Night Grey dan Whale Blue Sea.
Warna Starry Night Grey merupakan pilihan baharu yang dipadankan dengan kemasan dalaman hitam, manakala tiga warna lain hadir bersama kemasan dalaman coklat.
Harga jualan rasmi DENZA D9 Prestige AWD di Malaysia bermula pada RM345,800 (tidak termasuk insurans dan pendaftaran).
DENZA Malaysia turut menyediakan beberapa manfaat pemilikan untuk pelanggan D9 Prestige AWD baharu, antaranya:
- BYD Flash Charging percuma selama setahun.
- Waranti kenderaan selama enam tahun atau 150,000km.
- Servis penyelenggaraan berjadual percuma selama enam tahun.
- Waranti bateri voltan tinggi selama lapan tahun atau 160,000km dengan tahap kesihatan bateri (SOH) sekurang-kurangnya 72.5 peratus.
- Waranti unit pacuan selama lapan tahun atau 160,000km.
Pelanggan yang membuat tempahan sebelum 31 Disember 2026 turut menerima pakej DENZA Care+ bernilai RM7,088 secara percuma.

Pakej berkenaan memberikan tambahan perlindungan waranti bateri voltan tinggi selama dua tahun atau 40,000 km, sekali gus menjadikan tempoh perlindungan keseluruhan sehingga 10 tahun atau 200,000 km.
Dalam perkembangan berkaitan, kemudahan BYD Flash Charging kini tersedia di tiga lokasi iaitu bilik pameran DENZA Balakong, Glenmarie dan Old Klang Road.
Sehingga 8 Disember 2026, pemilik model DENZA yang menggunakan Bateri Blade Generasi Kedua boleh menikmati kemudahan pengecasan tanpa perlu memuat turun aplikasi, membuat pendaftaran atau melakukan tetapan awal.
Bagaimanapun, bermula 9 Disember 2026, pengguna perlu menggunakan aplikasi BYD Flash Charging untuk mengakses kemudahan berkenaan. Tawaran pengecasan percuma akan diteruskan di lokasi yang beroperasi sehingga 31 Disember 2027.
Menariknya, tawaran pengecasan percuma selama setahun turut diberikan kepada pemilik baharu DENZA D9 Prestige AWD dan pemilik DENZA Z9GT.
Model berkenaan kini boleh dilihat dan dipandu uji di bilik pameran DENZA seluruh negara termasuk Balakong, Glenmarie, KLCC, KL North, Old Klang Road, Melaka, Pulau Pinang dan Skudai.
GALERI:

































