Advertisements
Buletin

BYD SIME MOTORS BUKA PUSAT 3S TERBESAR DI IPOH

BYD Sime Motors terus memperluaskan rangkaian pengedarannya di utara Semenanjung menerusi pembukaan pusat jualan, servis dan alat ganti (3S) baharu di Ipoh, Perak.

Kemudahan yang dikendalikan pengedar sahnya, Goh Brothers itu merupakan pusat pameran BYD terbesar di Malaysia Utara.

Beroperasi di kawasan seluas kira-kira 20,000 kaki persegi, pusat 3S berkenaan menampilkan ruang pameran yang mampu memuatkan sehingga lapan kenderaan pada satu-satu masa. Ia menyediakan persekitaran moden dan selesa untuk pelanggan melihat dengan lebih dekat rangkaian kenderaan elektrik (EV) BYD.

Menariknya, bilik pameran tersebut turut menerima pengiktirafan Brand Champion Store Award pada BYD Asia Pacific Dealer Conference 2026 yang berlangsung di Shenzhen, China. Pengiktirafan itu meletakkannya sebagai antara pengedar berprestasi tinggi BYD di rantau Asia Pasifik.

Bagi urusan selepas jualan, pusat berkenaan dilengkapi enam ruang servis utama serta satu ruang tambahan bagi menyokong kerja penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan pelanggan.

Ia turut menyediakan dua unit pengecas pantas DC hasil kerjasama dengan Gentari, masing-masing menawarkan kapasiti pengecasan 240kW dan 180kW.

Kemudahan jualan, servis dan pengecasan yang disatukan di bawah satu bumbung ini bertujuan memberikan pengalaman pemilikan lebih mudah kepada pelanggan.

Pembukaan cawangan baharu itu turut menandakan bilik pameran BYD keempat kendalian Goh Brothers di Perak, selepas kehadirannya di Ipoh, Taiping dan Sitiawan. Syarikat berkenaan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam industri automotif tempatan.

Pengarah Goh Brothers, Ernie Goh berkata, pembukaan cawangan keempat itu mencerminkan keyakinan syarikat terhadap potensi perkembangan mobiliti elektrik di Perak.

Menurutnya, pelaburan berkenaan bukan sahaja memperkukuh operasi perniagaan, malah membolehkan pihaknya meningkatkan mutu pengalaman pelanggan serta sokongan selepas jualan di wilayah berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma berkata, Goh Brothers memainkan peranan penting dalam memperluaskan akses pelanggan terhadap kenderaan elektrik BYD di pasaran utara.

Beliau turut menyifatkan kemudahan baharu itu sebagai sebahagian daripada usaha menyediakan perkhidmatan lebih menyeluruh, sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna terhadap pemilikan kenderaan elektrik.

Pengarah Urusan Sime Motors Asia Tenggara, Jeffrey Gan pula berkata, peluasan rangkaian pengedar merupakan antara langkah penting dalam menyokong pertumbuhan BYD di Malaysia.

Menurutnya, kerjasama dengan rakan pengedar seperti Goh Brothers membolehkan jenama itu memperkukuh kehadiran di pasaran utama serta menyediakan sokongan jangka panjang kepada pemilik kenderaan.

Setakat ini, rangkaian BYD Sime Motors di seluruh negara merangkumi 45 pusat jualan dan pemasaran, 33 kemudahan selepas jualan serta 16 pusat badan dan cat.

Khusus di wilayah utara yang meliputi Perak, Pulau Pinang dan Kedah, BYD mempunyai sembilan pusat pengedaran sah termasuk kemudahan terbaharu di Ipoh itu.

Google ads
Back to top button