Artikel Pilihan

ADAKAH TALI PINGGANG KESELAMATAN SEKADAR HIASAN?

Pada minggu lepas pihak kami menerima kiriman bergambar berkenaan trend terbaru rakyat Malaysia apabila memandu bersama ahli keluarga pada waktu malam. Mungkin kerana terlalu manjakan anak-anak atau inginkan mereka tidur dengan selesa maka terbitlah beberapa idea inovatif dari hati murni ibu bapa dengan menghamparkan pelapik tilam atau toto (bukan Sport TOTO) di dalam kereta ataupun MPV mereka. Anak-anak akan diletakkan dalam keadaan berbaring agar perjalanan lebih selesa. Agaknya itulah yang difikirkan oleh mereka.

Tengkorak kau selesa! Ia hanya digembar-gemburkan selesa oleh penjual kusyen tilam kereta namun hakikatnya ia berpotensi untuk membahayakan pengguna apabila berlaku kemalangan jalan raya. Apabila pemandu menekan brek atau melakukan brek kecemasan, penumpang yang tidak diikat dengan mengguna akn tercampak ke depan disebabkan satu sifat fizik iaitu inersia.

Gambar sumbangan pembaca Mekanika

Inersia

Melalui Hukum Newton Pertama yang ditulis oleh Sir Isaac Newton, hukum ini menyatakan bahawa suatu objek dalam keadaan statik akan terus berada dalam keadaan statik atau jika bergerak akan terus bergerak dalam satu garis lurus melainkan terdapat satu daya luar yag dikenakan pada objek tersebut. Dalam situasi dunia automotif, penumpang kenderaan akan terus bergerak ke hadapan walaupun brek dan daya geseran telah bertindak untuk menghentikan kenderaan.

Walaupun kereta telah berhenti semua penumpang akan terus bergerak ke hadapan melainkan penumpang diikat dan dikekang pada tali pinggang keselamatan. Kegagalan penumpang untuk mengunakan alat keselamatan ini akan menyebabkan kecederaan parah pada bahagian kepala, dada dan juga bahagian atas badan.

Sejarah Tali Pinggang Keselamatan

Pada sekitar tahun 1950 Dr. C Hunter Shelden yang merupakan doktor neuro di Huntington Memorial Hospital di California membuat pemerhatian berkenaan kecederaan kepala yang dialami oleh penumpang dan juga pemandu kenderaan yang berpunca daripada rekabentuk tali pinggang keselamatan yang gagal bertindak apabila berlaku kemalangan. Pada tahun 1955 beliau mencadangkan agar rekabentuk tali pinggang keselamatan kenderaan ditambah baik agar kecederaan pada pemandu dan penumpang dapat dikurangkan. Pada tahun 1966 kongress Amerika Syarikat meluluskan rang undang-undang National Traffic Motor Vehicle Safety Act yang mewajibkan semua kenderaan dipasang dengan tali keledar keselamatan.

Nilss Bohlin

Sebuah syarikat pembekalan utiliti elektrik Sweden membuat kajian berkenaan kemalangan maut semasa bekerja dan mendapati separuh daripada kejadian tersebut berlaku ketika pekerjanya memandu ke tempat kerja. Mereka menghasilkan dan mengemukakan cadangan rekabentuk tali keledar kepada Volvo sekitar akhir ahun 1950an.

Rekabentuk tersebut disempurnakan oleh Nils Bohlin iaitu seorang jurutera Volvo dan mula dipasang pada kenderaan Volvo sebagai peralatan wajib yang akan dipasang walaupun pada masa itu tiada peraturan yang mewajibkan mereka berbuat sedemikian. Bohlins menunjukkan keberkesanan tali keledar 3 titik melalui satu kajian yang melibatkan 28,000 kemalangan jalanraya di Sweeden.

Penumpang yang tidak memakai tali pinggang keselamatan akan mengalami kecederaan serius sehingga menyebabkan kematian dalam semua halaju di bawah 100km/h. Manakala penumpang yang memakai tali keledar tidak mengalami kecederaan serius dan akan kekal di tempat duduk mereka. Tali pinggang keselamatan ciptaan Bohlins menerima kod paten US Patent 3,043,625. Pihak Volvo menyedari kepentingan pemakaian tali pinggang keledar ini mampu menyelamatkan jutaan nyawa manuasia melebihi keuntungan memutuskan untuk membuka akses paten tersebut kepada semua pihak agar mereka boleh menggunakan paten tersebut secara percuma.

Selepas 50 tahun tali pinggang keledar diperkenalkan statistik menunjukkan ia telah menyelamatkan hampir 2 juta nyawa dari pada maut akibat kemalangan. Pada tahun 1995 Bohlins menerima pingat emas dari Royal Swedish Academy of Engineering Science atas usaha beliau dan pada tahun 1999 nama beliau diabadikan dalam Automotive Hall of Fame.

Pematuhan Undang – Undang

Bermula pada tahun 2009 kerajaan Malaysia telah mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar untuk tempat duduk belakang bagi semua kenderaan baru, kenderaan yang didaftarkan pada 1 Januari 1995 dan ke atas dan tertakluk pada semua jenis kenderaan termasuk kenderaan utuliti sukan SUV dan juga kenderaan pelbagai guna MPV. Kegagalan untuk pemandu dan penumpang memakai tali pinggang semasa memandu akan dikenakan tindakan kompaun melalui rang undang-undang  Kaedah-Kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar) pindaan 2008.

Namun jika pembaca mendapati pihak polis tidak memakai tali pinggang keledar semasa bertugas jangan pula membuat pandai dengan mengambil gambar dan menularkankan gambar di media sosial. Satu seksyen rang undang-undang di atas iaitu Seksyen 7a memberikan pengecualian pada sesiapa yang berada dalam kenderaan polis, tentera, bomba dan ambulans daripada memakai tali pinggang keledar bagi memudahkan pergerakan anggota yang bertugas untuk menghadapi situasi kecemasan.

Trend Masa Kini

Berdasarkan hujah dan fakta yang diberikan pada perenggan di atas pihak kami menyelar sekeras-kerasnya sebarang penjualan aksesori yang membahayakan nyawa pemandu dan juga penumpang kenderaan seperti alat untuk menghentikan bunyi amaran tali pinggang keledar, tilam angin yang dipasang untuk tidur secara berbaring dan menghalang penggunaan tali keledar ataupun trend terkini yang melipat semua kusyen yang ada dalam kereta, SUV ataupun SUV bagi tujuan menghamparkan pelapik tidur dan meletakkan anak tanpa diikat pada tali pinggang keselamatan.

Sesetengah fitur yang membolehkan kerusi dilipat, disusun secara rata dan digunakan untuk tidur secara berbaring hanya sesuai digunakan apabila kereta berada dalam keadaan statik bukannya ketika dalam keadaan bergerak.

Sekiranya kemalangan terjadi, pemandu dan penumpang yang tidak dikekang dengan tali pinggang keselamatan akan tercampak ke depan ataupun dalam senario kemalangan yang teruk seperti kereta berpusing dan terbabas penumpang dan pemandu akan tercampak keluar dari kenderaan. Sangat sadis apabila kita membaca berita kemalangan dan punca kematian anak-anak ataupun bayi tercampak keluar dari kenderaan sewaktu kemalangan dan dilanggar oleh kenderaan lain.

Anak-anak kecil seharusnya diletakkan di dalam kerusi keselamatan yang dikhaskan untuk mereka bersesuaian dengan berat dan juga umur mereka. Mereka boleh diletakkan pada kerusi bayi, kerusi kanak-kanak atapun “seat booster” dengan kesemua peralatan ini diikat pada ciri ISOFIX kenderaan ataupun bagi model lama ia diikat dengan menggunakan tali pinggang keselamatan.

Persoalan seterusnya ialah bolehkah kanak-kanak  hanya menggunakan tali pinggang keselamatan tanpa menggunakan “seat booster” ataupun kerusi keselamatan kanak-kanak? Jawapannya ialah tidak boleh kerana ia akan menyebabkan berlakunya fenomena “seat belt submarining”. Secara semulajadi kanak-kanak yang berusia antara 4-8 tahun akan memiliki susuk badan yang lebih kecil daripada orang dewasa.

Apabila mereka dipakaikan dengan tali pinggang keselamatan yang hanya direka untuk orang dewasa mereka akan terdedah pada fenomena “seat belt submarining” kerana tali keledar yang sepatutnya melindungi dan mengekang bahagian dada, bahu dan riba orang dewasa tidak dapat menahan badan kanak-kanak yang lebih kecil secara efektif. Apabila kemalangan terjadi tubuh kanak-kanak terbabit akan menggelungsur di bawah tali pinggang keselamatan dan menghentam papan pemuka ataupun peralatan lain kereta dan menyebabkan kecederaan serius.

Kanak-kanak hanya boleh menggunakan tali pingang keselamatan yang disediakan oleh pihak pengeluar jika mereka telah mencapai ketinggian minima 144cm dan berat minima 36kg. Jika masih belum mencapai berat dan tinggi mengikut spesifikasi maka sewajarnya menggunakan kerusi bayi, kerusi kanak-kanak dan juga “seat booster” untuk anak -anak anda.

Menjelang musim perayaan yang akan tiba ini, kami menyeru agar pembaca memboikot segala akesori yang gagal mematuhi aspek keselamatan, menggunakan tali pinggang keselamatan dan juga menggunakan kerusi keselamatan yang sesuai untuk anak anak anda. Bertindak bijak dengan menjaga keselamatan iaitu menjaga nyawa, harta dan nasab kita dari sebarang kecelakaan.

Google ads
Back to top button