Artikel Pilihan

KENAPA ADA KERETA DAPAT SKOR 0 BINTANG NCAP?

Untuk kita semak faktor keselamatan sesebuah kereta baru, kita boleh lihat skor keselamatan yang diberi oleh badan yang diiktiraf seperti New Car Assessment Program atau NCAP. Kalau kereta tersebut ada skor 5 bintang, ini bermaksud anda ada kebarangkalian yang tinggi untuk selamat kalau berlaku kemalangan. Kalau skor KOSONG bintang, maka pastikan anda ada perlindungan takaful paling mahal dan buat wasiat siap-siap

Walaupun sudah banyak pengeluar kereta mengeluarkan kereta dengan skor 4 atau 5 bintang, tapi bagi pasaran dengan peraturan yang longgar kebanyakan pengeluar mengambil kesempatan dengan menjual kereta dengan ciri keselamatan minima. Semuanya dilakukan dengan alasan bagi menjimatkan kos pengeluaran .

Kami senaraikan ciri-ciri kereta yang mendapat skor kosong bintang ini:

1. Beg udara tidak cukup – menjelang tahun 2020, 6 beg udara adalah satu kebiasaan walaupun bagi kereta biasa apatah lagi untuk kereta mewah. Kereta Suzuki S-presso ini hanya dilengkapi dengan satu beg udara sahaja. Beg udara dengan gandingan tali pinggang keselamatan akan melindungi penumpang dari terkena impak kemalangan.

2. Tiada Seat Belt Pre-Tensioner – ia merupakan satu fungsi tambahan pada tali pinggang keselamatan di mana komponen ini akan memastikan badan penumpang dan pemandu kekal berada di tempat duduk sewaktu hentaman berlaku. Jika komponen ini tiada, badan penumpang akan bergerak ke depan sewaktu kereta berhenti secara tiba-tiba.

3. Tiada Zon remuk – atau disebut juga crumple zon yang berfungsi menyerap hentaman kemalangan supaya masa kemalangan bertambah bagi mengurangkan daya hentaman mengenai penumpang dan pemandu. Pada masa sama lebihan daya hentaman ini perlu disalurkan ke bahagian cesi yang lain agar ia bergerak menjauhi kabin penumpang.

4. Tiada cagak atau cangkuk pemasangan kerusi bayi – sampai satu tahap, cangkuk untuk memasang kerusi keselamatan bayi (ISOFIX) 3 poin juga tidak disediakan. Kerusi bayi jenis ini menawarkan perlindungan yang lebih baik berbanding dengan kerusi bayi yang dipasang dengan menggunakan tali pinggang keselamatan.

Dalam ujian kemalangan yang dijalankan oleh Global NCAP, Suzuki S-presso diuji pada kelajuan 64km/j bagi menghentam halangan aluminium (deformable barrier). Pakar kemalangan mendapati walaupun struktur bumbung S-presso tidak berubah, bahagian lantai dan kaki penumpang runtuh dan menyenbabkan kecederaan pada kaki. NCAP melabelkan struktur S-presso sebagai UNSTABLE dan perlu dirombak

Bacaan impak kemalangan pada patung ujian menunjukkan kemungkinan berlakunya kecederaan pada leher penumpang depan dan juga dada yang akan menyebabkan kecederaan dalaman, jika kemalangan sebenar berlaku. Berdasarkan ujian, S-presso hanya mendapat 0/17 bagi perlindungan penumpang dewasa (skor KOSONG bintang) dan 13.84/49 bagi perlindungan kanak-kanak (2 bintang)

Selain dari Maruti Suzuki S-presso, antara kereta lain dari jenama yang terkenal dan mendapat kosong bintang ujian Global NCAP ialah Renault Lodgy 2018, Chevrolet Enjoy 2017, Tata Zest 2016, Cherry Tiggo 2019 serta Hyundai Accent 2018

Google ads
Back to top button