Artikel PilihanBuletin

ANAK MUDA INI BERMULA DARI SPA KERETA DAN KINI MENJADI PENGELUAR PRODUK PENJAGAAN KENDERAAN

Bisnes penjagaan dan perapian kereta memang nampak menyeronokkan dan ringkas. Namun hakikatnya ia tidak semudah cuci, vakum dan lap. Dengan persaingan serta kos yang tinggi tidak ramai warga tempatan mampu bertahan.

Di sebalik cabaran itu, anak muda dengan panggilan mesra Joe @ Noffal dari Kedah ini terus cekal dalam memulakan dan mengekalkan bisnes yang dimulakan sebelas tahun lalu. Beliau memulakan bisnes penjagaan dan perapian kereta (car spa) dengan nama Master Touch Resources (MTR).

Model bisnes beliau berbeza dengan usahawan lain. Joe bermula dari premis yang agak terpencil dari pandangan awam di Ampang Utama, Selangor. Walaupun tidak mempunyai trafik tinggi namun ia memberi satu kelebihan dengan kadar sewa yang berpatutan seterusnya menyumbang kepada overhead rendah.

Joe tidak terlalu mengharapkan pelanggan walk-ini tetapi beliau yang walk-in ke forum-forum internet kelab kereta bagi mempromosi khidmat mencuci dan mengilat yang ditawarkan. Hasilnya, kebanyakan pelanggan Joe terdiri dari ahli-ahli kelab kereta yang mementingkan penjagaan rapi.

Strategi Joe mengena apabila beliau berjaya mendapatkan pelanggan yang betul di samping meluaskan rangkaian kenalan.

Kereta yang diselenggara pula dari buatan nasional hinggalah kepada jenama eksotik dan mewah seperti Lamborghini, Ferrari, BMW dan Mercedes. Malah pada satu ketika, tempahan perlu dilakukan terlebih dahulu bagi mendapatkan khidmat kemasan dari beliau.

Untuk pergi lebih jauh, MTR cuba mendapatkan khidmat berkala dan akhirnya mereka berjaya meraih kontrak penjagaan dan perapian kenderaan sewa kepunyaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Pada waktu ini, MTR sudah pun menyewa dua lot premis untuk menampung pertambahan pelanggan selain menyediakan ruang lebih selesa.

2011 ialah tahun di mana MTR menghasilkan produk penjagaan kereta sendiri seperti water coat, pengilat tayar, perapi kulit, sabun mencuci kereta dan sebagainya di bawah Pro Mtouch. Produk-produk MTR turut dijual di laman web e-dagang Lazada.

Bisnes baharu tersebut dilihat tepat pada masanya kerana MTR sudah berpengalaman dalam bidang ini dan bukan menjadi pengasas produk semata-mata tanpa ilmu dan pengetahuan.

Pada tahun yang sama juga, bisnes spa kereta semakin membesar apabila beberapa cawangan telah dibuka termasuk di luar Lembah Klang.

Pada 2012, anak muda ini maju selangkah lagi dengan menubuhkan MTR Car Rental. Bisnes ini khusus dalam menyediakan khidmat sewaan dari kereta nasional hinggalah MPV mewah yang lengkap dengan khidmat pemandu kepada individu, syarikat korporat dan agensi kerajaan.

Setelah lapan tahun beroperasi di Ampang Utama, MTR pada tahun 2014 berpindah ke tapak yang lebih besar dan strategik. Mereka menyewa lot banglo bersebelahan  jalan besar Ampang (berhadapan Kondominium Tiara, Ampang) dengan konsep yang lebih lengkap iaitu kafe untuk kemudahan pelanggan.

Sekali lagi pada tahun ini MTR berpindah ke lot banglo bersebelahan dengan konsep sehenti yang sama tetapi dengan lebih banyak unit kabin kontena.

Khidmat penjagaan kenderaan juga semakin meluas termasuk menerima kontrak membasuh kapal terbang.

Master Touch Resources kini menjadi lebih besar dan dikenali sebagai MTR Group yang memayungi beberapa anak syarikat lain. Secara ringkasnya, MTR menawarkan khidmat berikut:

  1. Mencuci kenderaan (termasuk kapal terbang)
  2. Penjagaan dan perapian kenderaan (termasuk ke rumah pelanggan)
  3. Produk penjagaan kenderaan – Pro Mtouch (boleh didapati dari Lazada)
  4. Khidmat menukar warna kenderaan mengikut teknik plastic dip/wrapping
  5. Khidmat memasang filem cermin (kenderaan, kediaman dan pejabat)
  6. Sewaan kenderaan termasuk pemandu
  7. Sewaan unit kabin di MTR, Ampang

MTR sekarang ini dalam misi untuk memantapkan lagi fasiliti pusat sehenti perapian dan penjagaan di Ampang. Terdapat beberapa lot kontena yang terbuka untuk disewa pada harga yang sangat berpatutan.

Lot yang disediakan dilihat sesuai untuk dibangunkan sebagai premis gunting dan penjagaan rambut atau lebih popular sebagai Barber Shop.

Apa yang diusahakan oleh Joe dan rakan kongsinya boleh dijadikan inspirasi. Beliau bijak mencari peluang dan berdikit-dikit dalam membesarkan perniagaan. Beliau juga fokus dalam membangunkan perniagaan berasaskan kenderaan, dari mencuci kereta hinggalah kepada menghasilkan produk sendiri!

Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Joe dan MTR, semoga sukses selalu dan menjadi inspirasi kepada usahawan lain!

Kepada pembaca yang berminat dalam bisnes penjagaan kereta dan ingin mencuba salah satu perkhidmatan yang ditawarkan oleh MTR, boleh menghubungi mereka melalui emel: [email protected]

Ruangan IKS Mekanika:

Ini adalah artikel pertama dalam usaha kami menengahkan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan. Mereka yang berminat dengan ruangan seumpama ini boleh menghubungi kami di [email protected] (mekanika (dot) malaysia)

Google ads
Back to top button