Buletin

BEKAS EKESEKUTIF VOLKSWAGEN DIPENJARA TUJUH TAHUN AKIBAT SKANDAL DIESEL

Bekas Pegawai Eksekutif Volkswagen Oliver Schmidt telah dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda lebih RM1.6 juta selepas didapati bersalah terbabit dalam skandal dieselgate.

Skandal terbesar Volkswagen dalam sejarah yang mengejutkan dunia itu menjadi satu krisis yang memalukan kumpulan automotif terbesar dari Jerman itu sejak beberapa tahun lepas.

BACA: INILAH VW COMBI TERAKHIR…

Kesan yang paling ketara ialah di Amerika Syarikat di mana dengan undang-undang alam sekitar dan kepenggunaan yang ketat, penipuan terhadap hasil ujian enjin disel Volkswagen memberi kesan sangat buruk kepada syarikat itu.

Oliver Schmidt berkhidmat sebagai ketua bahagian alam sekitar dan kejuruteraan di pejabat Michigan telah ditahan pada Januari lalu selepas ke Amerika bersama keluarganya. Beliau didapati bersalah dalam konspirasi menipu kerajaan persekutuan bersabit Akta Kebersihan Udara.

Hakim Sean F. Cox menjatuhkan hukuman sepertimana yang dicadangkan oleh pihak pendakwaraya.

“Anda ialah orang yang bertanggungjawab terhadap konsiprasi menyembunyikan fakta sebenar. Dengan tanggungjawab yang anda pegang, anda menipu pengguna Amerika,” ujar hakim sewaktu menjatuhkan hukuman.

Hanya sehari sebelum hukuman dijatuhkan, Schmidt menghantar surat kepada hakim, mengaku telah “dipergunakan” oleh Volkswagen apabila beliau mendedahkan perisian yang memanipulasikan ujian alam sekitar ketika bertemu dengan pegawai dari Lembaga Pemantauan Udara California.

“Skrip dan pengakuan tersebut telah disediakan oleh bahagian pengurusan tertinggi Volkswagen, termasuklah bahagian perundangan dalaman Volkswagen sendiri. Kesilapan saya ialah, saya hanya mengikut arahan,” ujar Schmidt.

Untuk rekod, hanya seorang kakitangan VW yang terbabit di Amerika dalam skandal disel ini. Jurutera syarikat, James Liang telah dijatuhkan hukuman penjara 40 bulan pada bulan Ogos lepas. 

 

Google ads
Back to top button