ROLLS-ROYCE PHANTOM – SENYAP SAMPAI BOLEH JADI STUDIO RAKAMAN!
Pembuat kereta ultra mewah, Rolls-Royce Motor Cars membuktikan bahawa dakwaan ruang kabin kenderaannya yang senyap bukan sebagai satu gimik pemasaran semata-mata.
Sebaliknya, ia dibuktikan menerusi satu kerjasama dengan pihak Mercury Music Prize dan pemuzik yang memenangi anugerah MOBO, Skepta. Skepta dilaporkan telah menghasilkan dan merakam sebuah lagu di dalam Rolls-Royce Phantom baharu.
Skepta atau nama sebenarnya, Joseph Junior Adenuga mengakui kagum dengan tahap kesenyapan lkabin Phantom apabila merakamkan lagu ‘Skepta RR’ di sepanjang tebing Tasik Lucerne dan kawasan pergunungan Switzerland.
Dengan lebih 130kg material penebat bunyi dan dua lapisan cemin setebal 6mm, tidak hairanlah jika Skepta memilih Phantom menjadi studio bergeraknya.
“Saya mahu mengalu-alukan kehadiran Skepta ke dalam dunia Rolls-Royce. Beliau telah membuktikan keupayaan Phantom sebagai kereta paling mewah dan senyap dengan lagu yang hebat ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Rolls-Royce Motor Cars, Torsten Müller-Ötvös.
Phantom sememangnya sudah lama menjadi pilihan bintang-bintang rock, golongan diraja dan peneraju industri.