BENGANG BREK MODEL 3 ROSAK, WANITA BUAT PROTES DI RUANG PAMERAN TESLA DI AUTO SHANGHAI 2021
Acara Auto Shanghai 2021 menjaadi medan terbaik untuk seorang wanita menunjukkan rasa tidak puas hatinya terhadap Tesla. Pemilik Model 3 itu mendakwa brek keretanya rosak dan gagal dibaiki oleh pengeluar kereta elektrik berkenaan.
Dia yang memakai kemeja-t berwarna putih dengan tulisan “brek hilang kawalan’ dalam bahasa Cina dilapor pergi ke ruang pameran Tesla sebelum memanjat bumbung sebuah Model 3. Tindakan beraninya itu pantas mendapat perhatian ramai dan tular di media sosial.
Wanita itu kemudian dikerumuni oleh pengawal keselamatan yang cuba menggunakan payung untuk menutup mesej pada bajunya. Namun, dia berjaya menarik payung tersebut, membuangnya dan menjerit “Brek Tesla hilang kawalan,” sebelum ditarik dari atas kereta dan dibawa keluar.
Tesla memberitahu Bloomberg bahawa wanita itu memang dikenali kerana sentiasa membuat protes tentang masalah brek Tesla. Sebelum ini, dia melakukan penstriman langsung di Auto Shanghai dan berjalan ke arah ruang pameran Tesla.
Menurut wakil Tesla, pihaknya cuba untuk memujuk wanita berkenaan supaya turun dari bumbung kereta. Malangnya usaha itu gagal dan mereka terpaksa meminta bantuan pengawal keselamatan.
Dia mendakwa brek pada Model 3 miliknya rosak dan hampir meragut nyawa empat ahli keluarga dalam satu kemalangan. Namun, Tesla menyatakan data pada kenderaan itu menunjukkan brek dan sistem bantuan pemandu berfungsi dengan baik ketika kejadian dan kelajuan sebelum brek adalah sekitar 120km/j.
Tesla menegaskan ia sangat mengutamakan hak pengguna dan pernah menawarkan beberapa penyelesaian kepada wanita itu yang mahu memulangkan keretanya. Tesla juga ada mencadangkan supaya kereta itu diperiksa oleh pihak ketiga, tetapi ditolak.
- BACA: PENGECAS MELEKAT PADA TESLA SUPERCHARGER. PEMILIK MODEL 3 PENING TUNGGU 15 JAM
- BACA: KERETA TESLA DIHARAM PARKIR DALAM KEM TENTERA ATAS ALASAN KESELAMATAN
- BACA: PESAN TOYOTA KEPADA TESLA DAN APPLE: BUKAN SENANG BERNIAGA KERETA
- BACA: INI SEBAB UTAMA KENAPA PENGGUNA DI CHINA BELI EV JENAMA TEMPATAN, BUKAN TESLA