
PESAN TOYOTA KEPADA TESLA DAN APPLE: BUKAN SENANG BERNIAGA KERETA
Presiden Toyota, Akio Toyoda mengingatkan Tesla dan firma teknologi lain bahawa industri automotif ialah satu perniagaan yang mencabar.
Bercakap dalam satu sidang media yang dianjurkan oleh Peratuan Pengilang Automobil Jepun, Toyoda menyatakan industri gembira untuk mengalu-alukan kedatangan pemain baharu.
“Tetapi selepas membuat sesebuah kereta, saya mahu mereka bersedia untuk berdepan dengan pelbagai cabaran dan pelanggan selama 40 tahun,” katanya.
Ketika ada pihak dalam industri automotif berpandangan Apple boleh menimbulkan ‘kekacauan’ seperti yang dilakukannya ke atas sektor teknologi beberqapa tahun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Volkswagen, Herbert Diess menegaskan Apple tidak akan dapat menguasai industri itu dalam masa yang singkat.
Dalam ucapannya, Toyoda turut mengakui firma-firma teknologi mempunyai potensi untuk membawa nafas baru ke dalam industri dan memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna.
Namun, mereka perlu bersedia mengambil tanggungjawab untuk seluruh kitaran hidup kenderaan yang dihasilkan, termasuklah dari segi penyelenggaraan dan pelupusannya.
Apple dijangka memperkenalkan kenderaan elektrik dengan teknologi semi-autonomi, walaupun tarikh akhirnya masih belum diketahui. Gergasi teknologi itu sudah berbincang dengan beberapa pengeluar termasuklah Hyundai dan Nissan, tetapi setakat ini tiada yang membuahkan hasil.