Motosikal

MFORCE BIKE PERKENAL SYM JET X 150 DAN WMOTO XTREME 150i. HARGA RM8K HINGGA RM10K

Pengedar motosikal jenama SYM dan WMoto, Mforce Bike Holdings semalam memperkenalkan dua buah skuter baharu iaitu SYM Jet X 150 dan WMoto Xtreme 150i. Penawaran itu pasti memberi lebih banyak pilihan kepada peminat skuter di Malaysia. 

Bakal ditawarkan pada harga bermula RM8,000 hingga RM10,000 seunit, jentera berkenaan dijadual berada di pasaran Jun depan. 

SYM Jet X 150

Macam pernah tengok? Ya, ini ialah skuter sama yang pernah dilancarkan di Thailand dan Eropah tetapi diberi nama GOX Drone. Abang Beras sempat menunggang uji skuter itu sekejap di ruang parkir hotel Grand Dorsett Subang. Dia kata, saiz motosikal itu agak besar, mempunyai reka bentuk agresif dan seronok ditunggang. 

SYM Jet X 150 menggunakan enjin bersesaran 149.6cc dengan sistem pancitan bahan api dan berupaya menjana kuasa sekitar 12.3hp dan tork 12Nm. Seperti kebanyakan skuter moden yang lain, ia dilengkapi pelbagai ciri canggih penghidup enjin tanpa kunci, sistem penggera meter LCD dgital, lampu utama dan DRL LED. 

Ia juga dipasang dengan penghadang angin berwarna kelabu dan ruang penyimpanan hadapan bersama slot USB. Tangki minyak berkapasiti 7.5 liter itu membolehkannya bergerak sejauh 400km. Manakala ruang penyimpanan barang di bawah pelana boleh memuatkan sebuah topi keledar full-face. 

Aspek pengendalian dibantu oleh penggunaan fork teleskopik di hadapan dan penyerap hentak berkembar boleh laras di belakang. Dari segi brek pula, SYM Jet X 150 akan dipasang dengan brek jenis CBS dan brek ABS mungkin ditawarkan kelak. 

WMoto Xtreme 150i

Jentera itu jelas mahu menjadi pesaing secara langsung kepada Honda ADV 150. Tampil dengan rekaan sebuah skuter adventure, ia mempunyai jarak kelegaan tanah 180mm bersama kedudukan pelana sekitar 765mm. Agak tinggi untuk sebuah skuter sebenarnya. Dimensi lain ialah panjang 1,925mm, lebar 760mm dan tinggi 1,290mm. 

Badannya yang seberat 143kg itu digerakkan oleh enjin satu silinder dengan sistem pancitan bahan api berkuasa 12hp dan tork 11.8Nm. Rim bersaiz 14 inci itu pula dibalut dengan tayar berbunga tebal 100/80 di depan dan 120/70 di belakang. 

Aspek keselamatan dipertingkatkan menerusi sistem brek ABS dua saluran. Manakala pengendalian diserahkan kepada padanan sistem suspensi jenis forf USD di hadapan dan monoshock untuk roda belakang. 

Tarikan WMoto Xtreme 150i diserlahkan lagi dengan rekaan lampu utama LED dan DRL LED yang unik. Ia juga hadir dengan pelbagai ciri canggih seperti meter LCD digital, sistem start/stop, penghadang angin boleh laras, satu port 12V dan slot USB.  

GALERI SYM JET X 150

GALERI WMOTO XTREME 1150i

Google ads
Back to top button