Buletin

KERETA TESLA DIHARAM PARKIR DALAM KEM TENTERA ATAS ALASAN KESELAMATAN

Tentera China dilapor melarang kereta Tesla daripada memasuki kawasan perumahannya atas sebab keselamatan kerana kenderaan tersebut dipasang dengan banyak kamera. 

Pasukan tentera mengeluarkan arahan supaya pemilik Tesla memarkir kereta mereka di luar kawasan perumahan kerana bimbang Tesla mungkin mengumpul data-data sensitif. Penghuni di kawasan perumahan tentera sudah diberi notis tersebut pada minggu ini. 

Imej surat arahan tersebut tular di media sosial di China. Manakala Wall Street Journal menyatakan kerajaan tempatan menghalang kakitangan tentera dan mereka yang bekerja di syarikat milik kerajaan dalam industri sensitif daripada menggunakan kereta Tesla atas alasan keselamatan negara. 

Model-model Tesla dilengkapi banyak kamera dan sensor bagi tujuan membantu pemandu dan sistem bantuan parkir. Model 3 dan Model Y dipasang dengan kamera pada cermin pandang belakang yang ditambah untuk kegunaan robotaxi pada masa depan. 

Kamera dalaman bagaimanapun tidak diaktifkan, kecuali pemandu masuk ke dalam fasa beta ‘Full-Self Driving’. Fasa itu menyaksikan kamera digunakan untuk memantau sama ada pemandu memberi perhatian kepada pemanduan atau sebaliknya. 

Pihak berkuasa China bimbang kamera pada Tesla sentiasa dalam mode merakam, sekali gus dapat menghantar maklumat sensisitif seperti tag lokasi dan video pendek kepada pengeluar kereta elektrik itu. Keputusan itu diambil selepas pihak keselamatan kerajaan menilai model-model Tesla. 

Google ads
Back to top button