Buletin

BENGKEL UBAHSUAI MOTOR MAT REMPIT AKAN DIAMBIL TINDAKAN

Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur akan mengambil tindakan tegas terhadap bengkel-bengkel yang didapati terlibat dengan pengubahsuaian motosikal tanpa lesen bagi aktiviti lumba haram.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, jabatan tersebut akan membuat risikan dan maklumat bertujuan untuk tangkapan serta semakan rekod jenayah.

Tambah beliau, pemeriksaan akan dilakukan ke atas bengkel-bengkel kenderaan yang melakukan pengubahsuaian kenderaan yang menyalahi undang-undang serta mengesan kenderaan curi.

“Siasatan di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 akan diambil sekiranya gagal untuk memberi keterangan di atas pemilikan kenderaan terlibat,” katanya selepas melancarkan Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, kata Mohd. Shuhaily, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) juga akan mengambil tindakan terhadap salah laku penyalahgunaan dadah sepanjang operasi ini dijalankan.

“Polis Kuala Lumpur tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan Jenayah dan melakukan kesalahan jalan raya,” jelasnya.

Kata Mohd. Shuhaily, langkah-langkah pencegahan awal diambil sebelum ianya menjadi tidak terkawal dan mengelak dari berlaku perkara yang tidak dingini.

“Saya menasihati kepada semua pengguna jalan raya untuk tidak mengabaikan tanda lalu lintas demi keselamatan semua pihak.

“Saya berharap operasi ini akan lebih mendisiplin, mendidik dan menasihati serta memastikan semua pengguna kenderdan mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya serta peraturan-peraturan di bawah agensi penguatkuasaan yang lain.

“Polis Kuala Lumpur akan mengambil tindakan proaktif dan strategik dalam menjadikan Kuala Lumpur sebagai urban yang selamat dan bebas dari jenayah,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Google ads
Back to top button