Buletin

BERAPA JAUH KERETA ELEKTRIK BOLEH DIPANDU?

Baru-baru ini rancangan automotif CARWOW telah menguji beberapa kereta elektrik yang telah dijual dipasaran. Matlamatnya hanya satu sahaja. Sekiranya kereta ini ada cas penuh hampir 100%, berapa jauh kereta elektrik boleh dipandu tanpa dicas semula? Adakah jarak yang dipaparkan oleh pengeluar boleh dipercayai?

Ujian ini sebenarnya sama seperti ujian yang dibuat pada kereta berkuasa petrol atau disel. Isi minyak penuh-penuh dan pandulah secara berhemah sampai minyak habis. Jadi dala ujian ini Mat Watson dan rakan-rakan memandu uji semua kereta elektrik sampai habis bateri. Jangan ingat jenama biasa tak boleh menang ye.

Antara kereta-kereta yang diuji termasuklah Nissan Leaf, Mercedes Benz EQC, Jaguar I-Pace, Tesla 3, Kia Niro EV dan Audi e-tron. Kesemua kereta di atas telahpun dicas selama satu malam bagi menyimpan bekalan tenaga elektrik yang mencukupi untuk perjalanan jarak jauh. Bagi menjadikan ujian ini adil, semua kereta dipandu mengikut halaju biasa yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Suhu kabin ditetapkan pada 20 darjah Celcius dan telefon disambungkan pada sistem audio kereta termasuk sistem bluetooth. Kereta elektrik sebenarnya bekerja dalam keadaan sangat efisyen antara suhu 15-25 darjah Celcius. Namun ketika ujian ini dibuat, suhu persekitaran adalah sekitar 11 darjah Celcius yang sedikit sebanyak mempengaruhi prestasi bateri. Jika di Malaysia, suhu yang panas akan menyebabkan prestasi bateri berkurang.

Nissan Leaf dibekalkan dengan bateri 62kWh yang membenarkan kereta ini dipandu sejauh 386km. Motor elektrik yang digunakan berupaya menjana 217 kuasa kuda dan membuat pecutan dari0-100km/j dalam masa 7.3 saat. Jaguar I-Pace pula dibekalkan dengan bateri sebesar 90kWh dan kiraan atas kertas ialah 470km bagi setiap cas penuh. 2 motor elektrik yang digunakan menghasilkan 400 kuasa kuda. Pecutan masa 0-100km/j ialah 4.8 saat.

SUV Mercedes EQC menggunakan 2 motor elektrik bagi versi AWD, namun ia boleh memilih untuk berfungsi sebagai 2WD. Ia menggunakan bateri sebesar 80kWh dan jarak maksima bagi pengecasan penuh ialah 416km. Motor elektrik menghasilkan 408 kuasa kuda dan pecutan 0-100km/j dibuat dalam masa 5.1 saat.

Audi e-tron adalah sebuah crossover mewah bersaiz sederhana dengan bateri sebesar 95kWh. 2 motor elektrik menghasilkan 408 kuasa kuda untuk disalurkan pada sistem AWD tetap dan pecutan dari 0-100km/j dibuat dalam masa 5.7 saat. Jarak maksima secara teori ialah 410km. Audi e0tron dilengkapkan dengan sistem gantungan udara dan cermin sisi yang menggunakan teknologi video bagi menggantikan cermin sisi biasa.

Kia Niro EV merupakan kereta yang paling murah di sini dibekalkan dengan bateri sebesar 64kWh yang dihantar kepada satu motor elektrik tunggal yang berkuasa 134 kuasa kuda. Namun ia berupaya untuk dipandu sejauh 453km bagi setiap cas. Namun ia masih boleh memcut dari 0-100km/j dalam masa 7.5 saat.

Tesla 3 dipasang dengan bateri bersaiz 75kWh dan diengkapkan dengan 2 motor elektrik yang menghasilkan 346 kuasa kuda. Versi ini membolehkan Tesla dipandu sejauh 560km bagi setiap cas penuh. Pecutan dari 0-100km/h dilakukan dalam masa 4.5 saat sahaja.

Keputusan

jarak dalam kilometer

Semua keputusan diringkaskan dalam jadual di atas. Dari segi jarak, Tesla 3 mendahului semua pesaingnya dengan 434km. Namun Kia Niro EV pun tidak kurang hebatnya walaupun hanya dibekalkan dengan bateri 64kWh sahaja. Ia mampu mencapai 410km ataupun 90% jarak yang diiklankan. Mercedes EQC mencatatkan jarak paling sedikit iaitu sekitar 75% daripada jarak yang diiklankan.

Apabila kereta elektrik diuji melalui lebuhraya, kelemahan utama sistem ialah ia tidak mampu menjana elektrik melalui proses brek regeneratif. Tambahan pula berat bateri akan menjadi beban kepada sistem. Walaupun bateri telah habis, ia masih dipandu dalam beberapa kilometer sehinggalah bateri sistem kehabisan cas sepenuhnya.

Sebaik sahaja bateri telahpun habis, sistem akan mengunci motor agar ia tidak boleh ditolak bagi melindungi motor dari kerosakan. Jadi amalan menghabiskan bateri sehingga 0% sebenarnya tidak selamat dan boleh menyebabkan kemalangan. Hanya Mercedes EQC membenarkan ia ditolak apabila ia mengesan ada pemandu duduk di kusyen pemandu apabila bateri habis. Tesla juga menyediakan mod menunda dalam situasi bateri 0%.

Anda boleh tonton video penuh di SINI

Google ads
Back to top button