Buletin

DIMENSI BARU MPV, ZEEKR 009 EXECUTIVE RM 299,800 SAHAJA.

Dalam segmen MPV mewah, nama seperti Toyota Vellfire dan Toyota Alphard sudah lama dianggap sebagai penanda aras khususnya di pasaran Asia. Namun kemunculan beberapa MPV mewah dari China membawa persepsi berbeza apabila pengeluar China memberi fokus kepada MPV PHEV ataupun EV.

Sebagai contoh, Zeekr 009 membawa pendekatan yang sangat berbeza yang bukan sekadar alternatif, tetapi satu lonjakan besar dari segi reka bentuk, teknologi, trenkuasa dan konsep keseluruhan sebuah MPV moden. Hanya masa akan menentukan samaada Zeekr 009 ini mampu memecah tembok stigma MPV buatan China

Dari segi dimensi jika dibandingkan dengan Vellfire atau Aphard, Zeekr 009 sudah memberi kelebihan yang ketara. Ia direka dengan 200 mm lebih panjang, 170 mm lebih lebar, dan mempunyai jarak roda yang 250 mm lebih panjang berbanding Vellfire.

Perbezaan ini bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi memberi impak besar terhadap ruang dalaman, terutamanya untuk penumpang barisan kedua dan ketiga. Hasilnya, kabin terasa jauh lebih luas dan lapang, menjadikan pengalaman perjalanan lebih selesa untuk semua penumpang.

Reka bentuk luaran Zeekr 009 pula menampilkan identiti futuristik yang lari dari rekaan normal MPV berkotak dan tinggi, sebaliknya menggunakan pendekatan lebih rendah dan lebih lebar . Bahagian hadapan didominasi oleh jeriji depan besar dengan kemasan krom yang unik, memberikan imej premium yang berbeza daripada MPV konvensional.

Dengan menggunakan kelebihan sebagai sebuah kenderaan elektrik, Zeekr 009 turut menawarkan ruang simpanan tambahan di bahagian hadapan atau “frunk” dengan kapasiti sekitar 29 liter, sesuatu yang jarang ditemui dalam segmen ini.

Untuk ruang kargo di belakang, Zeekr 009 menawarkan ruang sebesar 574 liter walaupun semua tempat duduk digunakan. Kelebihan menggnakan platform elektrik juga membenarkan perkakasan untuk sistem penyerap hentak “air suspension” disimpan kemas dalam lantai.

Memasuki bahagian dalam kabin, Zeekr 009 membawa definisi baharu terhadap kemewahan dalam MPV. Ruang dalaman direka seakan lounge bergerak, lengkap dengan pelbagai teknologi canggih. Penumpang pula akan berehat di atas kusyen mewah balutan kulit yang dilengkapi dengan ciri mengurut, pengudaraan dan boleh dibaringkan dengan selesa jika perlu

Sistem audio 30 pembesar suara daripada Yamaha memberikan pengalaman bunyi yang imersif, manakala skrin bersaiz 17 inci di bahagian belakang memastikan penumpang terus terhibur sepanjang perjalanan.

Selain itu, panel kawalan pada pintu membolehkan penumpang melaras fungsi seperti pendingin hawa, urutan tempat duduk dan pengudaraan dengan mudah.

Mungkin anda akan terkesima apabila mendapati Zeekr 009 Executive yang hanya berharga RM 299,800 ini turut dipasang dengan peti sejuk, kamera untuk kegunaan mesyuarat bergerak , serta pencahayaan ambien menambahkan lagi elemen eksklusif dalam kabin.

Gabungan material seperti kulit lembut berwarna cerah, kemasan krom dan elemen hitam berkilat pula memberikan sentuhan premium, walaupun kemasan jenis ini diketahui mudah meninggalkan kesan cap jari dan calar halus dalam penggunaan harian.

Untuk ruangan pemandu, Zeekr 009 dilengkapi dengan pelbagai ciri moden termasuk paparan head-up display (HUD), meter digital bersaiz 10 inci, serta sistem infotainmen utama 15 inci menjadikan pengalaman pemanduan sama seperti kereta berenjin.

Sebagai contoh rekaan papan pemuka dibina dengan menggabungkan 3 elemen, plastik hitam di bawah, balutan krim lembut di tengah dan kemasan plastik berkilat dengan corak di bahagian atas. Meter digital 10 inci disemat dengan kemas, stering 3 spoke digunakan lengkap dengan butang dan tombol gear mekanikal.

Ruang pemandu juga dibekalkan dengan pengecas tanpa wayar, ruang simpanan, bumbung panoramik bersama tirai penutup, sokongan USB hingga ke barisan ketiga, serta sistem pencahayaan kabin yang menyeluruh menunjukkan perhatian terhadap setiap aspek keselesaan penumpang.

Malah penulis juga agak kagum dengan ciri Zeekr 009 walaupun di barisan ke tiga. Ia masih menawarkan perehat kepala yang empuk, perehat tangan, poin USB C, bidai, corong penyaman udara, lampu kabin dan tempat untuk meletak minuman.

Walaupun bersaiz besar, Zeekr 009 tidak mengabaikan aspek prestasi biarpun ini varian paling rendah. Varian Executive datang dengan satu motor tunggal, namun ia menghasilkan sekitar 340 PS dan 373 Nm, membolehkan pecutan 0 hingga 100 km/j dicapai dalam kira-kira 7.9 saat.

Angka ini cukup mengagumkan untuk sebuah MPV, memberikan keseimbangan antara prestasi dan keselesaan. Zeekr 009 turut menawarkan keupayaan bateri yang kompetitif dengan bateri besar berkapasiti 116 kWh menggunakan teknologi NMC, ia mampu mencapai jarak sehingga 604 km berdasarkan standard WLTP.

Tapi awas jika anda gagal mengawal emosi dan terus menekan pedal kerana penggunaan tenaga bergantung terus pada cara pemanduan. Jika anda memandu pada 110km/h, angka 640km boleh dicapai dengan purata 18.1kWh/100km. Jika tidak bateri akan cepat kehilangan tenaga, sama seperti anda melenjan kereta petrol.

Dari segi pengecasan pula, Zeekr 009 menerima sokongan pengecasan pantas DC sehingga 150 kW membolehkan bateri dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam masa sekitar 30 minit, menjadikannya praktikal untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jarak jauh.

Namun perkara paling menarik berkenaan Zeekr 009 ialah ciri sistem suspensi “Magic Carpet” dengan teknologi dual chamber pula direka untuk memberikan perjalanan yang lebih selesa, menyesuaikan diri dengan keadaan jalan secara pintar.

Ketinggian Zeekr 009 ini boleh dilaras secara automatik bergantung pada pemanduan. Sebagai contoh, Zeekr 009 akan berada di posisi paling rendah sewaktu pintu dibuka untuk membolehkan proses keluar masuk berjalan dengan lancar.

Ia akan ditinggikan sedikit sewaktu mula mula bergerak bagi membolehkannya melepasi bonggol dengan baik. Sistem penyerap udara air suspension memang direka dengan lembut bagi memberikan keselesaan maksimum pada penumpang belakang

Tetapi ia akan direndahkan semula sebaik sahaja anda memandu laju, khusus untuk mengurangkan rintangan udara dan menjadikannya lebih efisyen. Namun penulis lebih suka menetapkan parameter pemanduan sendiri dengan ciri Driving Mode, yang ditawarkan dengan ciri Eco, Comfort, Sport, Snow dan Individual

Penulis akan menggunakan mode Individual dengan menetap stering pada Sport, respon motor pada Eco, sistem air suspension dikeraskan dan Zeekr 009 direndahkan pada tahap maksimum. Ketika memandu laju di lebuhraya, rasa pemanduan Zeekr 009 tak ubah seperti kenderaan petrol.

Dan akhir kalam dari penulis ialah Zeekr 009 bukan sekadar pesaing kepada Vellfire, Alphard mahupun Kia Grand Carnival, tetapi mewakili generasi baharu MPV mewah yang lebih berfokus kepada elektrifikasi, teknologi dan pengalaman pengguna dalam dimensi baharu

Walaupun Vellfire dan Alphard masih mempunyai kelebihan dari segi jenama dan nilai jualanZ semula, Zeekr 009 jelas menawarkan pakej yang lebih moden dan futuristik. Dalam banyak aspek, ia bukan sahaja menyaingi, malah mengatasi apa yang dianggap sebagai standard dalam segmen ini.

Google ads
Back to top button