Buletin

DARE EDISI KE-8 GEGARKAN SUNGAI PETANI, TARIK RIBUAN PENGUNJUNG

Dataran Jam Besar di Sungai Petani sekali lagi menjadi pusat tumpuan apabila program Darul Aman Retro Edisi Ke-8 (DARE) berlangsung meriah pada 2 dan 3 Mei lalu, menghimpunkan ribuan pengunjung dari seluruh negara dengan tema “Nostalgia Kedah Tua”.

Bagi memastikan kelancaran acara berskala besar itu, beberapa laluan utama di sekitar lokasi ditutup secara berjadual dengan kebenaran pihak berkuasa, sekali gus menukar kawasan tersebut menjadi medan pertemuan komuniti retro serta peminat budaya klasik.

Program yang bermula sejak 2012 itu terus berkembang dan kini diiktiraf sebagai antara himpunan retro paling berpengaruh di utara Semenanjung, pernah singgah di beberapa lokasi termasuk Jitra, Alor Setar dan Pulau Pinang.

Pengarah program, Arahman Ahmad berkata, penganjuran DARE bukan sekadar perhimpunan biasa, sebaliknya berperanan menghidupkan semula warisan negeri Kedah yang semakin dilupakan generasi muda.

“Melalui program ini, kita cuba membawa orang ramai merasai kembali suasana Kedah lama, di samping memupuk minat terhadap sejarah dan budaya tempatan,” katanya.

Sepanjang dua hari penganjuran, pelbagai aktiviti menarik disediakan termasuk pameran kenderaan klasik dan motosikal retro, pertandingan busana tradisional, permainan rakyat serta “Selam Fest” yang menampilkan jualan barangan bundle dan preloved.

Turut mencuri tumpuan ialah persembahan artis legenda Ramli Sarip yang mendendangkan lagu-lagu berunsur nostalgia, selain kemunculan selebriti seperti Amir Raja Lawak dan Mat Khuda yang menghiburkan pengunjung.

Penganjuran kali ini turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Pejabat Daerah Kuala Muda, Jabatan Pelancongan dan Warisan MPSPK, serta beberapa badan korporat dan komuniti automotif tempatan.

Selain merancakkan aktiviti komuniti, program DARE dilihat memberi limpahan ekonomi kepada peniaga setempat serta mengukuhkan kedudukan Sungai Petani sebagai lokasi penganjuran acara berskala besar di Kedah.

Dengan sambutan yang terus meningkat setiap tahun, DARE dijangka kekal sebagai platform penting dalam usaha memartabatkan warisan, budaya dan gaya hidup klasik di negara ini.

GALERI:

Google ads
Back to top button