
BIODIESEL B15 MULA DIKELUARKAN 1 JUN
Kerajaan memutuskan biodiesel B15 mesti dikeluarkan melalui 19 loji mulai 1 Jun ini juga, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pengeluarannya penting bagi membantu kerajaan menurunkan harga diesel di negara ini.
“Ia (pengeluarannya) bermula daripada B15 dan akan meningkat kepada B20. Seterusnya untuk tempoh dua, tiga tahun ini, mungkin hingga ke B50.
“Ini kita lakukan secara berperingkat bagi menentukan supaya harga minyak sawit mentah (CPO) tidak akan membebankan pengeluaran kepada biodiesel,” katanya.
Turut hadir, Timbalannya, Datuk Rubiah Wang dan Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Seri Suriani Ahmad.
Biodiesel B15 adalah bahan api diesel daripada campuran 15 peratus biodiesel berasaskan minyak sawit dan 85 peratus diesel petroleum, dilaksanakan untuk mengurangkan kebergantungan import bahan api dan menstabilkan bekalan tenaga negara.
Bulan lalu, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir memaklumkan, lebih 70 peratus depoh pengadun di Malaysia bersedia melaksanakan biodiesel B15 menggunakan fasiliti sedia ada, susulan pengumuman kerajaan meningkatkan adunan biodiesel kepada B15 secara berperingkat.
Pada 14 April lalu, kerajaan bersetuju meningkatkan kadar campuran biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan B12 bagi mengekalkan bekalan diesel negara susulan krisis yang berlaku di Asia Barat.
Langkah segera itu bagi mengelak kebergantungan melampau kepada bahan api fosil import dan pasaran luar dan melaksanakan penstrukturan semula ekonomi melalui peralihan dipercepatkan kepada tenaga boleh baharu.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, seiring pengeluarannya kelak, kerajaan akan memantau harga pasaran semasa CPO dan harga pasaran kepada minyak dikeluarkan untuk tenaga fosil.
“Setiap waktu kita akan menentukan kos pengeluaran itu tidak mengatasi harga pasaran kepada CPO,” katanya.
Terdahulu ketika berucap, beliau berkata, biodiesel berasaskan sawit bukan sekadar agenda tenaga, sebaliknya peluang menghubungkan kekuatan komoditi negara dengan masa depan ekonomi desa.
“FELCRA, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) perlu melihat potensi ini dengan serius. Agensi KKDW mesti melihat aset dan sumber desa dengan lebih strategik.
“Tanah yang belum dioptimumkan, ladang yang boleh ditingkatkan hasilnya, produk desa yang boleh dinaikkan standardnya, pusat latihan yang boleh melahirkan tenaga mahir, serta jaringan usahawan yang boleh disusun semula, semuanya mempunyai nilai jika diurus dengan disiplin ekonomi yang tuntas,” katanya. – Berita Harian
- BACA: SUV ELEKTRIK 990HP, XIAOMI YU7 GT SIAP SEDIA DEBUT DI CHINA, LANCAR HUJUNG MEI
- BACA: VOLVO CAR MALAYSIA ANJUR ‘SELAMAT DRIVING EXPERIENCE’, BERLANGSUNG 16-17 MEI INI
- BACA: CONTINENTAL PERKENALKAN TAYAR ALL-TERRAIN TERBAHARU CROSSCONTACT A/T²
- BACA: DARE EDISI KE-8 GEGARKAN SUNGAI PETANI, TARIK RIBUAN PENGUNJUNG

