
ENJIN V8 TURBO HIBRID UNTUK HALOCAR TOYOTA
Toyota nampaknya benar-benar belajar daripada satu episod penting dalam sejarah gelap mereka sendiri melalui projek Lexus LFA. Ketika itu, mereka terlalu mengejar kesempurnaan. Setiap perkara diperhalusi, setiap komponen diuji tanpa kompromi.
Hasilnya memang luar biasa, sebuah supercar yang hampir tiada cacat cela. Tetapi dalam dunia automotif yang bergerak pantas, kesempurnaan yang datang terlalu lambat akhirnya terasa seperti sudah tertinggal zaman. Teknologi berkembang lebih cepat daripada kitaran pembangunan yang terlalu berhati-hati yang memakan masa hampir 10 tahun.
Daripada situ, Toyota nampaknya mengubah falsafah pembangunan mereka. Untuk projek halo car terbaru mereka, pendekatan perfectionist” itu tidak lagi menjadi pegangan utama. Sebaliknya, mereka memilih untuk bergerak seiring dengan kelajuan teknologi semasa, walaupun itu bermakna perlu mengambil calculated risk.

Kali ini, buku SOP lama seolah-olah dikoyakkan dan digantikan dengan pendekatan yang lebih agresif dan berani. Hasilnya adalah sebuah enjin yang jauh berbeza daripada apa yang pernah kita lihat sebelum ini daripada Toyota.
Enjin V8 berkapasiti 4.0 liter (4000cc) ini menggunakan konfigurasi twin-turbo bersama sistem hibrid, satu kombinasi yang jelas menunjukkan hala tuju masa depan tanpa meninggalkan elemen emosi pemanduan. Dari segi angka, Toyota masih kekal dengan sifat konservatif mereka dengan jangkaan output sekitar 641hp dan 850Nm tork.
Namun seperti biasa, angka ini kemungkinan besar hanyalah sebahagian daripada cerita sebenar. Apa yang menjadikan enjin ini menarik bukan sekadar pada penggunaan turbo dan hibrid, tetapi pada karakter asasnya.

Dengan ukuran bore dan stroke 87.5mm x 83.1mm, ia menggunakan reka bentuk enjin oversquare. Ini bermaksud enjin ini direka untuk rev tinggi, dengan respon yang lebih pantas dan sifat “rev happy” yang jarang dikaitkan dengan enjin turbo moden. Ia bukan sekadar enjin yang bergantung kepada boost, tetapi masih mengekalkan jiwa mekanikal yang hidup dan agresif.
Konfigurasi turbo pula menggunakan susunan hot-V, dimana turbo diletakkan di tengah-tengah antara silinder. Pendekatan ini memendekkan laluan udara dan meningkatkan respon, walaupun pada masa yang sama menghasilkan cabaran haba yang lebih ekstrem. Ia satu penyelesaian kejuruteraan yang jelas menunjukkan fokus kepada prestasi maksimum, bukan sekadar kompromi untuk keselesaan.
Dari sudut kejuruteraan dalaman, enjin ini dibina dengan komponen berprestasi tinggi seperti forged piston dan forged connecting rod, yang meningkatkan ketahanan di bawah tekanan tinggi. Ia juga menggunakan forged cross-plane crankshaft, yang bukan sahaja menyumbang kepada karakter kuasa, tetapi juga menghasilkan bunyi V8 klasik yang dalam dan bergetar, satu elemen yang semakin jarang ditemui dalam era elektrifikasi.

Sistem bahan api pula menggunakan teknologi D4S (dual injection), menggabungkan direct injection dan port injection dalam satu sistem. Ini membolehkan enjin mencapai keseimbangan antara prestasi dan kecekapan, satu lagi contoh bagaimana Toyota masih mengekalkan pendekatan teknikal yang teliti walaupun dalam platform berprestasi tinggi.
Untuk memastikan kestabilan dalam situasi pemanduan ekstrem, enjin ini dilengkapi dengan sistem pelinciran dry sump. Ini bukan sahaja memastikan bekalan minyak yang konsisten ketika mengambil selekoh laju, tetapi juga membolehkan enjin dipasang lebih rendah dalam casis, sekaligus menurunkan pusat graviti dan meningkatkan pengendalian.
Dari segi susun atur keseluruhan kenderaan, Toyota mensasarkan agihan berat 45:55, dengan gearbox dipasang di gandar belakang dalam konfigurasi rear transaxle. Enjin dan transmisi disambungkan menggunakan carbon torque tube, pendekatan yang biasanya ditemui dalam jentera berorientasikan prestasi tinggi.

Semua ini menunjukkan bahawa fokus bukan hanya pada kuasa, tetapi juga keseimbangan dan pengalaman pemanduan secara keseluruhan.
Menariknya, enjin ini tidak mempunyai kaitan dengan pembangunan enjin baharu seperti GE20E. Sebaliknya, ia sebenarnya berasal daripada projek yang pernah dibatalkan iaitu Lexus LC F. Apa yang dulunya dianggap sebagai projek yang terkubur kini dihidupkan semula dalam bentuk yang lebih relevan dengan zaman.
Keseluruhannya, enjin V8 hybrid ini bukan sekadar satu lagi langkah ke arah elektrifikasi. Ia adalah simbol perubahan falsafah Toyota daripada terlalu berhati-hati kepada lebih berani dan adaptif. Dalam dunia di mana teknologi berubah setiap hari, mungkin ini adalah cara terbaik untuk kekal relevan, dengan menjadi cukup pantas untuk terus berada di hadapan.

