
QJMOTOR DEDAH SRK 1051 DI CHINA – ENJIN EMPAT SILINDER, 144HP
QJMotor dengan julung kalinya memperkenalkan model sulung dengan enjin berkapasiti 1000cc menerusi QJMotor SRK 1051.
Meskipun SRK 921 baru saja menembusi pasaran global, QJMotor tidak memerlukan masa lama untuk memperkenalkan pengganti menerusi SRK 1051.

Menurut QJMotor, enjin empat silinder yang menggerakan SRK 1051 dibangunkan dari enjin SRK 921 dengan membesarkan bore dari 73mm kepada 78mm dan mengekalkan stroke pada 55mm.
Kapasiti enjin yang meningkat dari 921cc kepada 1,051cc itu menyaksikan SRK 1051 menawarkan 144hp pada 11,000rpm berbanding 128hp yang dihasilkan SRK 921.
Menariknya, enjin tersebut dilaporkan mampu mencecah 200hp namun susulan peraturan emisi Euro5+ kuasa tersebut terpaksa dihadkan.

Dalam pada itu, SRK 1051 ini masih lagi berkongsi casis yang sama dengan SRK 921 yang merupakan kerangka yang dibangunkan bersama MV Agusta sebelum kerjasama mereka terlerai apabila jenama Itali itu diambil alih KTM sebelum ini.
Pakej suspensi dibekalkan Marzocchi termasuk fork USD depan, monoshock belakang dan steering damper. Brek pula mengguna pakai komponen Brembo sementara elektronik pula terdiri dari 6-axis IMU yang menawarkan cornering ABS dan lean-sensitive traction control.
Ciri lain yang dijangka disenaraikan termasuk quickshifter dan cruise control sepertimana yang terdapat pada SRK 921. Berat keseluruhan SRK 1051 ini adalah 220kg dengan tangki 15L diisi penuh.







