
BICARA TEKNIKAL: TRANSMISI KOENIGSEGG JESKO – ADA 7 KLAC, 9 RATIO
Selama ini kami ingat sistem klac berkembar yang digunakan Volkswagen merupakan sistem transmisi yang sempurna buat masa ini. Sehinggalah kami menemui spesifikasi teknikal kereta super Koenigsegg yang memiliki 9 ratio kelajuan dan 7 set klac bagi menguruskan semua kuasa enjin yang dimiliki oleh kereta ini.
Koenigsegg Jesko merupakan sebuah kereta super dengan kuasa kuda maksima 1600 yag dibangunkan khusus untuk kegunaan trak perlumbaan namun masih lagi sah digunakan atas jalan biasa dengan syarat nombor pendaftarannya mengikut saiz yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Tranmisi yang digunakan oleh Jesko dinamakan Light Speed Transmission ini merupakan hasil usaha kejuruteraan Koenigsegg sendiri.

Tidak seperti sistem DSG, sistem LST tidak memiliki fork, collar, dan synchronizers untuk memilih setiap gear individu. Sebaliknya operasi gear diuruskan secara 100% melalui proses kawalan sistem klac secara individu. Menurut Christian von Koenigsegg, klac ini berupaya menyambung dan memutuskan klac dalam masa 2 milisaat sahaja
DSG pula beroperasi dengan prinsip yang hampir sama di mana satu set klac mengawal set gear yang ganjil (1, 3, 5, dan 7) dan satu set klac lagi akan mengawal set gear genap (2, 4 dan 6). Masalah mula timbul apabila sistem mekatronik hanya mampu memilih hanya satu gear sahaja untuk disambungkan dengan enjin dalam satu masa. ECU akan memilih gear yang akan digunakan (berdasarkan kiraan algoritma) dan bersedia di dalam klac. Sekiranya pilihan tersebut salah, maka masa penukaran gear akan menjadi lambat

Bagi kegunaan di litar lumba, sistem ini akan berfungsi dengan cemerlang bagi tujuan pecutan yang bagus. Namun bagi kegunaan di jalan raya biasa di mana melibatkan trafik sesak (stop and go), keadaan ini menyebabkan masalah penukaran gear tidak sempurna dan sistem mekatronik gagal meneka gear mana yang perlu digunakan dengan tepat. Malah transmisi auto biasa lebih cemerlang dalam pemanduan bandar disebabkan wujudnya mekanisma penukar tork
Anda boleh baca bagaimana penukar tork berfungsi di pautan INI
Daripada mengharapkan pada 2 klac sistem sistem LST menggunakan 7 klac (ataupun 8 jika dikira pada sistem transaxle). Sistem klac ini merupakan sistem klac pelbagai lapisan dengan bantuan hidraulik yang beroperasi dengan bantuan sensor tekanan dan juga aktuator tersendiri. Setiap pasang gear mendapat klacnya yang sendiri dengan 3 syaf input pada transmisi

Input syaf ini mendapat kuasa dari enjin dan berupaya untuk memilih untuk menghantar tork kepada syaf (1, 2 dan 3). Setelah mendapat tork, syaf ke dua tersebut boleh menghantar tork kepada mana -mana gear yang bersambung dengan syaf ke tiga. Secara ringkas 3 ratio memiliki 3 pilihan menjadikan 9 gear pilihan dalam transmisi ini
Satu lagi klac dikhususkan untuk mengundurkan kereta ke belakang, disambungkan terus dengan output enjin ke gear mengundur. Secara keseluruhan sistem ini memiliki 7 pasang gear, 9 gear untuk bergerak ke depan dan satu gear untuk mengundur ke belakang. Semua sistem ini adalah seberat 90kg sahaja termasuk minyak pelincir, iaitu separuh berat transmisi Agera

Disebabkan sepasang gear telah bersambung dengan sistem klac, proses menukar gear ratio boleh dibuat dengan pantas sekitar 2 milisaat sahaja. Sistem tidak perlu mengagak gear mana yang perlu ditukar, ia hanya perlu bersedia sahaja setiap masa. Koenigsegg menamakan sistem ini Ultimate Power on Demand atau singkatanya UPOD. Matlamat sistem ini ialah meletakkan gear yang tepat dan optimum untuk pecutan tanpa rasa teragak-agak
Sistem UPOD memberikan 2 pilihan penukaran gear pada pemandu. Jika ditarik hanya sekali, sistem UPOD akan menurunkan hanya satu ratio. Jika pemandu menekan pedal pilihan gear lebih lama, LST akan menurunkan ratio sehingga ia sangat ideal untuk pecutan maksima

Bayangkan anda di lebuh raya PLUS dan memandu secara santai dengan gear 9 sebelum sebuah Sagaru Imprezza berwarna biru dengan liang udara palsu di atas bonet depan. Tanpa sistem UPOD anda perlu menurunkan semua gear dan mencari gear yang sesuai untuk pecutan. Dengan sistem UPOD, anda hanya menekan pedal gear lama sedikit, dan gear akan meilih ratio paling ideal untuk pecutan maksima. Proses penukaran gear akan berlaku dengan lancar tanpa gangguan sewaktu klac beroperasi