Artikel Pilihan

BICARA TEKNIKAL: ENJIN 1.5 TD BAKAL DIGUNAKAN X50

Memandangkan kami telah memuat naik artikel teknikal berkenaan enjin 1KR-VET yang digunakan pada Daihatsu Rocky, maka untuk berlaku adil artikel kali ini akan membentangkan spesifikasi teknikal enjin Proton X50 pula. Sekali imbas, walaupun hanya menggunakan 3 silinder, namun enjin ini adalah lebih canggih berbanding dengan enjin 1.8TGDi yang digunakan pada X70.

Enjin ini dibangunkan bersama-sama dengan barisan enjin 2000cc petrol dan juga 2000cc disel. Malah saiz diameter dan lejang enjin 3 silinder ini juga adalah sama dengan saiz enjin 2000cc. Ia memiliki saiz 82mm saiz diameter dan 93.2 mm saiz lejang. Setiap silinder memiliki sesaran 492.2cc. Enjin ini dibangunkan bersama sama dengan Geely bakal digunakan bersama-sama dengan model Geely akan datang

Drive-E 3 cylinder Petrol – interior

Enjin ini diasaskan oleh enjin Drive-e 4 silinder yang dimiliki oleh Volvo. Terdapat 12 batang injap yang digunakan oleh enjin ini dan proses pembukaan dan penutupan injap dikawal dengan teknologi Double Over Head Cam. Penyelarasan injap pula akan dikawal melalui sistem valvetrain VVT-i berkembar bagi membolehkan pemasaan injap dibuat dengan tepat. Sistem ini memastikan kecekapan penggunaan petrol, mengawal pencemaran dan juga memberikan prestasi enjin yang baik

Sistem dual VVTi

Sistem suntikan bahan api terus digunakan bagi meningkatkan volumetric efficiency enjin. Sistem suntikan ini dipadankan dengan pam petrol tekanan tinggi yang dipacu oleh aci engkol. Ini memastikan proses suntikan bahan api dibuat dengan tepat pada setiap kitaran enjin

Pam minyak enjin geseran rendah

Pam minyak enjin serba baru yang lengkap dengan galas bebola besi dipasang pada enjin ini bagi memastikan kuantiti minyak enjin dihantar dengan tepat pada komponen mekanikal setiap masa. Sekiranya dipandu perlahan, hanya sedikit sahaja minyak enjin akan dipam. Sebaik sahaja enjin mulai diperah, semakin banyak minyak enjin dipam ke seluruh enjin. Ini memastikan parasitic load dalam keadaan rendah dan kecekapan enjin adalah tinggi.

Anak panah menunjukkan mass balancer

Salah satu kelemahan enjin 3 silinder ialah gegaran yang dihasilkan oleh enjin ketika operasi akibat bilangan piston yang tidak harmoni ketika operasi. Dalam enjin 4 piston, pada setiap masa akan ada 2 piston bergerak ke atas dan 2 piston bergerak ke bawah. Pergerakan ini membatalkan momen inersia seterusnya mengurangkan gegaran enjin. Bagi mengurangkan gegaran, enjin ini dipadankan dengan mass balancer yang dipasang di dalam enjin. Hasilnya operasi enjin akan menjadi lebih lancar.

Modul penyejukan

Salah satu matlamat pembangunan enjin ini ialah mengurangkan lagi pencemaran udara yang selalu terjadi sewaktu enjin dalam keadaan sejuk. Jadi bagi memastikan enjin ini mencapai suhu optimum dengan pantas, modul pam bersama-sama dengan termostat telah digunakan. Modul ini akan memastikan enjin beroperasi pada suhu yang optimum di negara yang bercuaca sejuk.

Menurut Derek Crabb, Timbalan President Divisi Kejuruteraan Trenkuasa Volvo bilangan silinder dan saiz enjin tidak lagi relevan untuk mengukur kuasa dan keupayaan pemanduan oleh enjin. Ia sebenarnya bergantung pada jumlah udara yang dialirkan di dalam enjin untuk tujuan pembakaran. Dengan menjadikan enjin ini bersaiz lebih kecil, ia akan menjadi lebih efisyen. Jadi matlamat pembangunan enjin ini ialah walaupun ia kecil namun pastikan ia dapat mengalir dan membakar udara yang cukup dengan bantuan turbo bagi menghasilkan kuasa yang diinginkan. Tekanan maksima (brake mean effective pressure) yang dihasilkan pada piston melalui proses pembakaran enjin mencecah 2169.5kPA

Sebaik sahaja enjin ini direka, pasukan jurutera telahpun merangka 3 versi aplikasi yang berbeza untuk digunakan bersama-sama teknologi hibrid dan penggunaan motor elektrik. Versi pertama ialah enjin petrol sahaja yang menghasilkan kuasa 177 kuasa kuda pada 5500 RPM. Tork maksima pula boleh dicapai sehingga 255Nm di antara 1500 – 4000 RPM. Versi hibrid pula bakal menerima suapan bantuan motor elektrik yang berkuasa 14 kuasa kuda. Gabungan sistem menghasilkan 190 kuasa kuda dan 300Nm tork

Versi yang paling berkuasa bagi enjin ini datang dengan kombinasi plug-in hibrid. Motor elektrik yang lebih besar akan digunakan iaitu berkuasa 82 kuasa kuda. Gabungan sistem ini menghasilkan 258 kuasa kuda dan 415Nm tork. Malah ia berupaya untuk dipandu sejauh 62km dengan menggunakan kuasa elektrik sahaja. Namun kita tidak pasti samaada kedua-dua versi hibrid ini akan sampai ke Malaysia ataupun tidak.

Tags
Google ads
Back to top button