
JESKO – HYPERCAR TERBARU DARI KOENIGSEGG DENGAN KELAJUAN MAKSIMA 482 KM/J
Koenigsegg baru sahaja memperkenalkan pengganti kepada Agera RS dan ia dinamakan Jesko sempena nama bapa kepada Christian Koenigsegg. Hypercar terbaru keluaran Sweden dikatakan mampu mencatat kelajuan maksima 481 km/j dengan menggunakan enjin 5.0-liter V8 twin turbo dan mampu menghasilkan 1,587 hp kuasa dengan menggunakan bahan api E85.
Nama hypercar terbaru ini sebenarnya dirahsiakan oleh Christian dari pengetahuan semua termasuklah bapa beliau sendiri sebelum didedahkan di Geneva Motor Show. Bapa beliau Jesko van Koenigsegg memang merupakan penyokong kuat anaknya dalam menubuhkan syarikat Koenigsegg sebelum menjadi antara peneraju industri dalam dunia supercar.

Enjin V8 yang diperbaharui itu kini menggunakan aci sesondol yang lebih ringan dan membolehkan enjin ini dipacu sehingga 8,500 rpm selain menghasilkan lebih kuasa dan bunyi yang lebih lunak. Dua pengecas turbo berkembar itu pula disambungkan terus dengan dua unit kompressor elektrik yang menghantar udara dari tangki 20-liter (diperbuat daripada gentian karbon tentunya) terus ke pengecas turbo tadi. Hasilnya ialah tiada lagi masalah turbo lag yang menghantui kebanyakan enjin turbo lain. Ia akan memberikan reaksi spontan dalam masa yang singkat sebelum tugas memutarkan turbin diambil alih oleh gas ekzos.
Jika diisi dengan petrol Ron95, enjin Jesko akan menghasilkan 1,262 hp kuasa tetapi jika pemilik menyuapnya dengan bahan api E85, angka kuasanya akan melonjak ke 1,578 hp. Tork maksima ialah 1,500 Nm tetapi separuh daripada itu boleh diperolehi seawal 2,700 rpm.

Kotak gearnya pula dihasilkan sendiri oleh Koenigsegg dan mereka menamakannya Light Speed Transmission (LST). Ia merupakan kotak gear 9-kelajuan dengan klac berganda tanpa synch rings yang membolehkan pemandu menukar gear dari sebarang kedudukan dengan kelajuan selaju cahaya.
Berbeza dari kotak gear DCT biasa, unit LST Koenigsegg ini membolehkan penukaran gear dilakukan dengan selamba tanpa mengira kedudukan susunan. Contohnya pemandu boleh menukar dari posisi gear 7 ke gear 4 dengan pantas tanpa perlu menurut aturan. Keseluruhan komponen kotak gear juga cuma seberat 90 kg menjadikannya jauh lebih ringan dari kotak gear DCT di luar sana.
Hanya 125 unit Jesko akan dihasilkan dengan pengeluaran tahunan hanya sekitar 40-50 unit. Harganya pula ialah sekitar RM12.2 juta seunit sebelum cukai! Habis dah namanya Koenigsegg, takkan harganya sama dengan supercar Malaysia kan?