Artikel Pilihan

PENGGUNA GEAR AUTO WAJIB KENAL BENDA NI

Hampir 8/10 dari pembeli kereta baru di Malaysia memilih untuk membeli kereta dengan transmisi automatik. Jika dulu pengguna dimomokkan dengan penggunaan bahan api yang tinggi, namun sekarang enjin transmisi automatik menjadi lebih cekap dengan pengenalan pelbagai teknologi baru. Daripada 4 ratio gear, transmisi automatik berkembang menjadi 6, 8 dan 10 ratio. Transmisi manual memerlukan input pemandu untuk memutuskan dan menyambung kembali gear dengan enjin semasa penukaran dibuat. 2 anggota badan diperlukan iaitu tangan kiri dan juga kaki kiri untuk mengperasikan pedal klac dan juga tombol gear manual.

Apabila menggunakan transmisi auto, hanya tangan kiri yang bergerak sewaktu menggerakkan tombol gear dari P R N dan juga D. Penukaran gear 1 2 3 4 5 dan 6 dilakukan secara automatik. Proses menyambungkan gear dengan enjin dilakukan oleh torque converter. Ia berfungsi mengasingkan putaran enjin dan putaran transmisi yang berputar pada RPM yang berbeza ketika kereta dipandu dan diperlahankan.

Apa itu Torque Converter?

Torque converter bertindak menyambungkan enjin dengan transmisi melalui cecair hidraulik tapi menyebabkan kecekapan mekanikalnya agak rendah jika dibandingkan dengan sistem klac. Syaf input dan output tidak bersambung secara fizikal dan pemindahan gerakan akan berlaku melalui hidraulik. Nilai tork yang diterima juga akan digandakan di antara 1.5 -2.5 kali ganda berbanding nilai tork asal yang dibekalkan oleh enjin

Komponen utama

Pam – disambungkan terus pada enjin dan sentiasa berputar mengikut RPM enjin. Pam menerima input daripada enjin melalui penutup pam dan disambungkan secara mekanikal pada enjin.

Turbin – memiliki rekaan bilah yang hampir sama dengan pam tapi disambungkan ke transmisi. Ia menerima tekanan hidraulik dari pam apabila cecair hidraulik melalui turbin. Disebabkan energy loss oleh cecair hidraulik, maka turbin akan berputar perlahan sedikit berbanding dengan pam

Cecair hidraulik – apabila pam berputar, cecair akan bergerak keluar dari pusat pam disebabkan centrifugal force. Cecair akan bergerak dalam bentuk putaran atau swirl dari pam menuju ke turbin.

Stator / Reaktor – berfungsi untuk menyalurkan hidraulik dari turbin kembali ke pam dengan efisyen. Reaktor dipasangkan dengan mekanisma klac bagi membenarkan ia berputar pada satu arah saja.

Ketika memulakan perjalanan, stator berada dalam keadaan statik. Cecair hidraulik yang melaluinya akan dipaksa keluar dan kembali ke pam dengan lebih laju. Ini meningkatkan tekanan diterima pada pam dan menggandakan tork antara 1.5-2.5

Mekanisma Klac Pengunci – bertindak mengunci pam dan turbin apabila ia mengesan pemandu menekan pedal minyak untuk memecut. Apabila klac berfungsi, pam dan turbin akan berputar pada RPM yang sama dan bersambung secara fizikal. Ini akan mengurangkan kehilangan tenaga berbanding menggunakan cecair hidraulik semata- mata

Damper – merupakan sebahagian komponen klac. Apabila enjin dan transmisi disambungkan secara mekanikal, maka sebarang gegaran dan perubahan RPM enjin dan transmisi akan menghasilkan gegaran.

Terdapat beberapa siri spring yang dipasang pada damper bertindak menyerap gegaran yang dihasilkan agar ia tidak dipindahkan pada sistem transmisi dan juga cesi

Operasi Torque Converter

Katakan anda baru memulakan perjalan dari lampu merah, anda mula menekan pedal minyak dan kereta mula bergerak. Apa yang berlaku sebenarnya anda baru saja menyebabkan enjin berputar dengan laju seterusnya menyebabkan pam turut berputar dengan lebih laju.

Putaran pam meningkatkan daya centrifugal menyebabkan cecair hidraulik meninggalkan pam pada tekanan tinggi dalam bentuk pusaran. Cecair ini akan sampai ke turbin, melanggar bilah turbin dengan tenaga kinetik dan tekanan tinggi. Ini akan memaksa turbin berputar seterusnya menggerakkan sistem transmisi

Cecair tersebut menuju kembali pada pam namun rekaan bilah stator memaksa ia mengubah halaju dan arah menuju ke arah pam dengan tekanan tinggi. Ini meningkatkan tekanan pada pam dan tork akan meningkat.

Apabila anda menekan pedal minyak dengan lebih kuat, enjin akan berputar dengan lebih laju dan cecair begerak dengan lebih laju. Stator tadi akan turut berputar mengurangkan halaju dan arah hidraulik seterusnya mengurangkan tork pada pam.

Jika tekanan yang diterima cukup kuat,mekanisma klac akan bertindak masuk dan mengunci komponen pam dan turbin menjadi satu unit. Kecekapan meningkat dan sensasi pecutan dapat dirasai oleh pemandu. Sebarang perubahan RPM enjin yang boleh menyebabkan gegaran diserap oleh damper dan spring.

Apabila anda menekan brek, sistem brek akan memperlahankan putaran tayar, komponen drive shaft, dan juga transmisi. Klac akan dinyahaktifkan bagi membenarkan pam dan turbin beroperasi pada RPM yang berbeza. Cecair hidraulik akan mengambil alih tugas klac menyambungkan antara enjin dan transmisi

Namun masih terdapat perbezaan RPM antaar enjin dan transmisi. Turbin akan berputar lebih laju berbanding dengan pam namun disebabkan oleh sifat cecair hidraulik, ia membenarkan slip atau gelinciran berlaku.

Kelebihan tork converter

Disebabkan tekanan hidraulik di dalam torque converter meningkat secara beransur-ansur, maka kereta akan memecut dari keadaan statik dalam keadaan yang lancar dan juga linear. Tiada sentapan ataupun senggukan yang akan terjadi. Sama juga ketika kereta mula membrek. Ia berlaku dengan lancar tanpa senggukan menjadikan proses pemberhentian kereta berjalan lancar

Google ads
Back to top button