Buletin

BP RANCANG BUANG 10,000 PEKERJA AKIBAT COVID-19

Kejatuhan harga minyak yang membelenggu pasaran dunia memberi impak kepada industri minyak antarabangsa.

Antara syarikat yang terjejas teruk ialah BP Plc apabila ia merancang mengurangkan 10,000 pekerja, sebagai langkah mengecilkan operasi dan beralih kepada tenaga lebih bersih.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bernard Looney dalam satu nota dalaman memberitahu syarikat minyak berkenaan akan memberhentikan 14 peratus tenaga kerjanya.

Beliau berkata langkah itu akan memberi kesan kepada kakitangan yang bekerja di pejabat dan mereka yang memegang jawatan kanan dalam syarikat, dengan satu pertiga daripada 400 kedudukan teratas dijangka akan dikurangkan.

Looney, 49, memberitahu kakitangannya bahawa pengurangan pekerja itu sejajar dengan rancangan ditetapkan pada Februari lalu untuk mempersiapkan BP kepada pengurangan pelepasan karbon yang lebih mendalam.

Pada masa itu, beliau berkata, BP akan merombak perniagaan huluan dan hilirannya dan menggantinya dengan 11 kumpulan baharu.

“Saya rasa adalah tidak telus untuk tidak mencadangkan akan terdapat pemberhentian kerja sebagai sebahagian daripada program ini,” kata Looney dalam wawancara dengan Bloomberg pada Februari.

“Bagaimanapun, pandemik dan kejatuhan harga minyak mentah mempercepatkan proses itu, menyebabkan syarikat itu untuk pergi ‘lebih mendalam’ pada peringkat ini berbanding apa yang kami sangka pada mulanya,” katanya. – Berita Harian

Tags
Google ads
Back to top button