
PENSTRUKTURAN SEMULA, BRITISH AIRWAYS BAKAL BUANG 12,000 PEKERJA
Syarikat penerbangan British Airways dijangka membuang sekurang-kurangnya 12,000 kakitangannya berikutan perjalanan udara yang semakin merosot akibat penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia.
Menurut syarikat induknya, AIG langkah penstrukturan itu terpaksa diambil bagi membolehkan perniagaan dapat bertahan pada masa depan. Pelaksanaan langkah tersebut akan dibuat sehinggalah permintaan terhadap perjalanan udara pulih seperti tahun 2019.
AIG turut memiliki syarikat penerbangan Sepanyol, Iberia dan Aer Lingur, Ireland.
Penstrukturan semula itu melibatkan 30 peratus tenaga kerja British Airways yang kini mempunyai sekitar 42,00 orang kakitangan.
“Cadangan ini bagaimanapun masih dalam perbincangan, tetapi ia dijangka memberi kesan besar kepada British Airways,” jelas AIG.
Dalam sepucuk surat kepada semua kakitangannya, Ketua Pegawai Eksekutif British Airways, Alex Cruz menyatakan situasi industri penerbangan bertambah buruk dan syarikat perlu bertindak sekarang.
“Kerajaan tidak akan memberi bantuan kewangan (bailout) kepada syarikat. Kita juga tidak boleh mengharapkan bayaran gaji daripada wang cukai rakyat. Kita akan menyaksikan beberapa syarikat penerbangan terpaksa menghentikan operasi,” kata Cruz.
Sebelum ini, seramai 4,500 orang juruterbang dan 16,00 krew kabin telah diberhentikan sementara waktu.
Selasa lalu, AIG mendedahkan impak COVID-19 ke atas perolehan kumpulan. Pendapatan untuk tiga bulan pertama 2020 jatuh 13 peratus kepada £4 bilion (RM21.5 bilion).