Buletin

BYD PERKENALKAN LCV ELEKTRIK, BYD E-VALI 3.5/4.5 TAN – BATERI 80.64KWH, JARAK GERAK HINGGA 250KM

BYD telah memperkenalkan model terbarunya, BYD E-Vali, sebuah kenderaan komersial ringan (LCV) elektrik sepenuhnya, pada Ekspo IAA Transportation 2024 di Hanover, Jerman.

Kenderaan ini disasarkan untuk pasaran Eropah, terutamanya dalam sektor penghantaran jarak dekat dan logistik penghantaran bungkusan.

BYD menyatakan bahawa E-Vali adalah sebuah LCV elektrik 3.5 tan/4.25 tan yang direka khusus untuk memenuhi keperluan penghantaran jarak dekat di Eropah.

Model ini dilengkapi Bateri Blade BYD dan sistem bantuan pemanduan pintar yang canggih, menyediakan pilihan kos penyelenggaraan rendah untuk pengurusan armada komersial Eropah.

BYD E-Vali hadir dengan pelbagai Sistem Bantuan Pemanduan Lanjutan (ADAS) untuk meningkatkan keselamatan dan keselesaan.

Ciri standard termasuklah Kawalan Pelayaran Adaptif, Amaran Pelanggaran Hadapan, Brek Kecemasan Automatik, Pengesanan Titik Buta, dan Kawalan Tahan Bukit.

Bahagian dalaman kenderaan ini menyokong sambungan over-the-air (OTA) untuk Apple CarPlay dan Android Auto. Papan pemukanya turut dilengkapi pengecasan tanpa wayar dan kawalan suara.

Dari segi kapasiti muatan, BYD E-Vali mempunyai kapasiti muatan sehingga 17.9 meter padu, dengan model 4.25 tan mampu menampung beban sehingga 1,450kg.

Kenderaan ini juga mempunyai pintu belakang yang lebar, tempat duduk lipat untuk memaksimumkan ruang, serta ketinggian dalaman yang cukup tinggi.

Model 3.5 tan E-Vali berukuran 5,995/2,096/2,780mm dengan jarak roda 3,865 mm, manakala model 4.25 tan pula berukuran 6,995/2,096/2,780mm dengan jarak roda 4,550mm.

Kenderaan ini mampu menjangkau jarak 220-250 km mengikut penilaian WTLP, dengan kuasa bateri 80.64kWh Bateri Blade BYD yang boleh dicas pantas dari 10% ke 80% dalam masa 30 minit.

Selain E-Vali, BYD turut mengumumkan pelancaran EYT 2.0, traktor halaman elektrik untuk pasaran Eropah yang direka untuk logistik pelabuhan dan pengangkutan di kawasan seperti pelabuhan.

EYT 2.0 mempunyai berat maksimum sehingga 75 tan, dan dilengkapi dengan Bateri Blade BYD yang mampu beroperasi selama 16 jam tanpa henti.

Model trak elektrik BYD lain seperti ETM6 dan ETH8 juga ditonjolkan dalam acara ini. ETM6 adalah trak sederhana 7.5 tan yang direka untuk logistik bandar, manakala ETH8 adalah trak berat 19 tan digunakan untuk kebersihan bandar serta logistik.

Kedua-dua model ini dibangunkan berdasarkan platform trak elektrik BYD, dengan jarak perjalanan muatan penuh masing-masing sejauh 200km dan 250km.

Dengan lebih 110,000 unit kenderaan komersial elektrik dijual di peringkat global setakat akhir Jun 2024, BYD terus memperkukuhkan usaha pengembangannya di pasaran antarabangsa dalam segmen kenderaan komersial.

Google ads
Back to top button