Buletin

BYD RACCO RAIH LEBIH 1,000 TEMPAHAN DALAM TEMPOH DUA MINGGU DI JEPUN

BYD terus mencuri perhatian dalam pasaran Jepun apabila model kei car elektrik pertamanya, BYD Racco, berjaya mengumpul lebih 1,000 tempahan hanya dalam tempoh dua minggu selepas pelancarannya.

Menurut laporan media tempatan, sebanyak 1,002 tempahan direkodkan setakat 9 Ogos lalu, selepas model itu mula dijual pada 28 Julai.

Pencapaian tersebut dilihat sebagai langkah awal yang positif buat BYD yang menyasarkan sehingga 10,000 tempahan menjelang penghujung tahun 2026.

Menariknya, varian tertinggi Racco 300 Premium menjadi pilihan utama pembeli dengan menyumbang sekitar 80 peratus daripada keseluruhan tempahan.

Varian pertengahan 300 Plus pula meraih 14 peratus tempahan, manakala model asas Racco 200 mencatatkan enam peratus.

Kajian pelanggan turut menunjukkan bahawa 35.7 peratus pembeli memilih Racco sebagai kenderaan kedua dalam keluarga, manakala jumlah yang sama menggantikan kenderaan sedia ada dengan model elektrik tersebut. Pembeli kereta pertama pula mewakili 26.8 peratus daripada keseluruhan pelanggan.

Dibangunkan mengikut spesifikasi kei car Jepun, BYD Racco hadir dengan dimensi 3,395mm panjang, 1,475mm lebar dan 1,800mm tinggi, serta jarak roda 2,520mm. Rekaan berbentuk kotak memberikan ruang kabin yang lebih praktikal dengan kapasiti empat tempat duduk dan ruang simpanan belakang berkapasiti 280 liter.

Model ini ditawarkan dengan dua pilihan bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 22.4kWh dan 35.84kWh. Kedua-duanya dipadankan dengan motor elektrik pacuan roda hadapan yang menghasilkan 63hp dan 160Nm tork.

Bergantung kepada varian, jarak perjalanan elektrik yang ditawarkan berada antara 210km hingga 320km.

Varian asas menyokong pengecasan pantas DC sehingga 35.8kW melalui port CHAdeMO, manakala versi bateri lebih besar boleh menerima kuasa pengecasan sehingga 49.7kW.

Walaupun berada dalam segmen kei car, Racco dilengkapi pelbagai ciri keselamatan moden sebagai standard termasuk Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) dan Sistem Brek Kecemasan Automatik (AEB).

Di bahagian dalaman, ia menggunakan skrin sentuh 10.1-inci bersama sistem audio sehingga enam pembesar suara.

Dalam pasaran Jepun, pesaing utama BYD Racco ialah Nissan Sakura, iaitu model kei car elektrik popular yang menggunakan bateri 20kWh dan motor elektrik 63hp.

Sakura ditawarkan pada harga permulaan lebih tinggi dan merekodkan penghantaran sebanyak 14,093 unit sepanjang tahun 2025.

Google ads
Back to top button