Buletin

TESLA SIAR IMEJ ACAH ROADSTER BAHARU, SEMI PULA CURI TUMPUAN

Tesla sekali lagi menghangatkan perhatian peminat automotif apabila menyiarkan imej acah terbaharu bagi Roadster generasi kedua yang dijadual diperkenalkan secara rasmi pada 1 Oktober ini di Waco, Texas.

Imej ringkas itu hanya memperlihatkan jalur lampu LED penuh di bahagian hadapan, tanpa mendedahkan reka bentuk keseluruhan atau sebarang maklumat teknikal mengenai kereta sport elektrik berprestasi tinggi tersebut.

Walaupun penampilan Roadster terus menjadi tanda tanya, perbincangan mengenai model itu semakin rancak susulan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk, yang sebelum ini membayangkan penggunaan teknologi pendorong berasaskan sistem SpaceX.

Menurut Musk, Roadster berpotensi dilengkapi beberapa pendorong gas sejuk yang ditempatkan di bahagian belakang bagi membantu meningkatkan pecutan dan keupayaan pengendalian. Bagaimanapun, Tesla masih belum mengesahkan sama ada teknologi itu akan digunakan pada model produksi.

Setakat ini, syarikat berkenaan juga belum mendedahkan spesifikasi rasmi, kapasiti bateri, jarak perjalanan atau harga jualan Roadster baharu.

Namun, Tesla telah membuka semula tempahan awal untuk model tersebut dengan deposit sebanyak AS$50,000 (kira-kira RM212,000), menjadikannya antara maklumat rasmi yang telah disahkan selain tarikh pelancarannya.

Dalam perkembangan lain yang lebih signifikan, Tesla mengumumkan pengeluaran trak elektrik Semi kini memasuki fasa pengeluaran berskala besar selepas hampir sedekad sejak model itu diperkenalkan buat pertama kali pada 2017.

Tesla mula menyerahkan unit Semi kepada kumpulan pelanggan terpilih pada penghujung September 2026 dan menyasarkan kapasiti pengeluaran sehingga 50,000 unit setahun di kilangnya di Nevada.

Musk menyifatkan Semi sebagai sebuah trak yang menawarkan prestasi luar biasa, sambil menekankan kelebihan kos operasi berbanding trak diesel tradisional yang berdepan peningkatan harga bahan api.

Walaupun sasaran pengeluaran diumumkan, Tesla masih belum mendedahkan jumlah sebenar trak yang sedang dihasilkan atau harga rasmi model tersebut.

Antara pelanggan terbesar yang telah membuat tempahan ialah syarikat logistik Sweden, Einride AB, dilaporkan menempah 500 unit Semi dengan 75 unit dijangka diterima sebelum penghujung tahun ini.

Selain menggunakan rangkaian pengecas pantas Megacharger milik Tesla, Semi juga dijangka menerima fungsi pemanduan autonomi yang sedang dibangunkan oleh syarikat itu.

Penganalisis industri turut melihat Semi sebagai produk yang berpotensi memberi impak besar kepada perniagaan Tesla pada masa depan, terutama dalam sektor pengangkutan komersial yang sedang beralih kepada penggunaan tenaga elektrik.

Google ads
Back to top button